Home Berita PAS Kelantan

Insentif Cukai Khas kepada pelabur di Kelantan

165
SHARE

KOTA BHARU, 9 Jan: Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perlaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan yang turut dianggotai wakil Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta pihak ECERDC, Jumaat lalu.

Mesyuarat tersebut membincangkan tentang usaha merancakkan pembangunan ekonomi Kelantan khususnya dalam sektor minyak dan gas, pembuatan, logistik, pelancongan dan pembangunan modal insan.

Turut dibentangkan, Pakej Insentif Percukaian Khas kepada pelabur di Kelantan yang diluluskan Kementerian Kewangan termasuklah pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 15 tahun dan 17 peratus untuk lima tahun selanjutnya.
Dato’ Ahmad berkata, perkara itu suatu pencapaian ECERDC yang amat memberangsangkan.

“Ini adalah hasil usaha dan kerjasama erat berbagai pihak iaitu Kerajaan Negeri, ECERDC, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan lain-lain agensi yang berkaitan untuk menarik pelaburan ke negeri ini”, katanya.

Beliau menyarankan agar kajian terperinci dapat dilaksanakan untuk mengkaji impak projek Chumphon – Ranong Land Bridge yang sedang dilaksanakan oleh pihak Thailand, kepada Kelantan.

Selain itu, beliau berharap pelaksanaan pembangunan LPT3 serta lain-lain infrastruktur sokongan dipercepatkan dan diberi keutamaan bagi mengekalkan kelebihan saingan kepada Kelantan.