Home Berita PAS Melaka

Impi solat Aidilfitri tahun ini di dewan terbuka PAS Masjid Tanah – rayu sumbangan

377
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH: Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman menyimpan impian untuk melaksanakan solat jemaah Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini di Dewan Terbuka Kompleks PAS Kawasan Masjid Tanah yang kini baru melalui proses pembinaan.

Menurutnya, pembinaan kompleks ini baru sahaja dimulakan pada Disember lepas bagi Fasa-1 iaitu pembinaan dewan terbuka yang merupakan sebahagian daripada projek keseluruhan pembinaan dan ubahsuai Kompleks PAS Kawasan Masjid Tanah ini.

“Kita memang sudah puluhan tahun buat solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha di markas ini di Dewan Haji Kassim, iaitu dalam bangunan sedia ada. Cuma sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni memang kita tak dapat nak buat (solat hari raya).

“Kalau boleh kita berharap sangat kita dapat laksanakan Solat Aidilfitri untuk hari raya akan datang ni yang dijadualkan pada awal Mei ini di dewan terbuka yang baru ni. Sebelum ni kita guna dewan di bangunan markas, tapi saiznya kecil, jemaah selalu melimpah,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sekiranya pembinaan dewan ini dapat disiapkan sebelum Hari Raya Aidilfitri dan dapat digunakan untuk tujuan itu ia akan memberikan lebih keselesaan pada para jemaah.

“Sebenarnya dewan terbuka ini sepatutnya memulakan pembinaan pada 1 April tahun lepas, namun disebabkan berlaku PKP dan berbagai-bagai halangan selain dana pun belum mencukupi jadi kita tak dapat mulakan pembinaan.

“Sehingga hujung tahun lepas kita baru dapat mengumpul sekitar RM55 ribu. Jadi dengan duit yang sedikit ni kita mulakan pembinaan ni dalam bulan Disember lepas. Dan sekarang dana yang ada ni pun dah habis. Tapi projek perlu berjalan,” katanya lagi.

Ustaz Imran yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan ini menambah bahawa projek keseluruhan yang mengandungi tiga fasa ini menelan belanja keseluruhan sebanyak RM900 ribu.

“Fasa 1 ni kita nak siapkan dewan terbuka dahulu. Kos untuk dewan terbuka ini ialah RM450 ribu. Kita masih belum ada dana yang mencukupi. RM55 ribu yang kita dah kutip telah diserahkan pada kontraktor dan masih belum cukup kerana projek sedang berjalan.

“Kita bimbang projek ni terpaksa dihentikan sementara jika dana baharu tidak dapat dikutip. Sebab itu sekarang ni kita merayu sumbangan daripada dermawan-dermawan di luar sana yang sudi menyumbang untuk pembinaan ini.

“Besar impian saya dan seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Masjid Tanah agar dapat kami melaksanakan solat Hari Raya Aidilfitri tahun ini di bawah bumbung dewan terbuka yang baru ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain dewan terbuka ini PAS Kawasan merancang untuk membina bangunan tandas untuk fasa-2, sementara fasa-3 pula melibatkan kerja-kerja membaik pulih bangunan markas sedia ada.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

Lukisan bangunan dewan terbuka Kompleks PAS Kawasan Masjid Tanah

Pembinaan setakat hari ini