Home Berita PAS Pahang

YB Damak ziarah masyarakat Tionghua sempena Tahun Baru Cina

70
SHARE

Oleh: KIERA ZAINAL

JERANTUT, 21 Jan :: Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba pada 1 Februari nanti, Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak YB Ustaz Zuridan Mohd Daud, menyantuni warga Tionghua di Kampung Sungai Lekok dekat sini Selasa lalu.

Program Ziarah yang menjadi rutin setiap Selasa dan Rabu sejak lama dahulu semalam dikhususkan untuk bertanya khabar sambil menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada masyarakat Tionghua.

Sebanyak 20 buah rumah telah dikunjungi yang penghuninya kurang berkemampuan, warga emas, OKU, ibu tunggal dan seumpamanya.

Ustaz Zuridan yang dilihat sangat mesra dengan para penerima telah mengambil kesempatan itu untuk memberi kata-kata semangat, berbual, malah bergurau senda.

“Kalau awak tak ada beras tak ada roti atau susah apa-apa, awak datang pejabat jumpa saya atau pegawai-pegawai saya,” katanya antara yang dipetik ketika bersama salah seorang penerima yang ditemuinya sedang membersihkan ladang getah miliknya.

Ketika melalui rumah-rumah yang tidak menjadi sasaran, beliau tetap disapa mesra dan dilambai oleh penghuni yang menyedari kehadiran beliau.

Turut mengiringi Ustaz Zuridan dan menjadi penyelaras dalam program ziarah itu ialah Ketua MCA dan Timbalan Ketua MCA Cawangan Sungai Lekok iaitu Wong Tiaf San dan Tia Ah Kau.

Sungai Lekok merupakan lokaliti yang majoriti penduduknya masyarakat Tionghua.

Program ziarah sempena Tahun Baru Cina ini akan disambung lagi minggu hadapan.

(Foto oleh: Shahid)