Home Berita PAS Johor

Iklan judi raya: penghinaan kepada Perlembagaan Negara

291
SHARE

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya iklan judi versi lagu hari raya yang tular di media sosial baru-baru ini. PAS Negeri Johor beranggapan bahawasanya iklan tersebut telah menghina kesucian perlembagaan Negara kita.

Dua klausa dalam perlembagaan yang telah dihina oleh pengarah dan pelakon yang terlibat dengan proses pembikinan video tersebut ialah melibatkan Agama Islam dan orang Melayu. Jelas dituliskan dalam perlembagaan bahawanya di dalam Perkara 3(1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini membuktikan kesucian Agama Islam yang harus dijaga dan dipelihara bukan diperlekeh dan dipersenda.

Manakala Perkara 153 (1) menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini. Pengarah iklan dengan sengaja memanipulasi dan mempergunakan pemuda dan pemudi berbangsa Melayu yang dilihat jelas cuba memalukan bangsa Melayu.

PAS Negeri Johor dengan ini mendesak dan memohon supaya Polis Diraja Malaysia dan badan-badan penguatkuasa yang berkaitan supaya mengambil tindakan tegas dan lebih ketat terhadap mereka yang terlibat merancang, memberi idea dan sesiapa sahaja yang bersekongkol dalam pembikinan video tersebut.

Jika tindakan lebih tegas tidak diambil, ditakuti ianya akan mencetuskan suasana kurang selesa orang Melayu dengan penghinaan demi penghinaan seterusnya membangkitkan rasa tidak puas hati hingga mampu mencetuskan kekecohan di dalam negara yang kita cintai ini.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

RUSMAN KEMIN
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)
19 APRIL 2021 | 07 RAMADHAN 1442H