Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak di awal penubuhannya pada tahun 1951 sangat konsisten untuk berada dalam masyarakat untuk menyampaikan mesej Islam. Para pemimpin berusaha mendidik masyarakat Islam untuk kembali kepada ajaran Islam yang benar.
Bagi memastikan kerja buat untuk parti terus dapat dipersadakan ke tengah masyarakat, maka organisasi PAS menyusun pelbagai sektor atau lajnah bagi membolehkan semua modal insan yang PAS miliki dapat digarapkan sebaik mungkin bagi merealisasikan tujuan PAS sebagaimana yang tercatat dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS.
Perlembagaan PAS juga turut menyenaraikan usaha-usaha yang mesti dilakukan oleh organisasi di semua peringkat bagi mencapai tujuan di Fasal 5.
Sehubungan dengan itu, Lajnah Perpaduan Nasional yang telah diwujudkan sejak hampir 10 tahun yang lalu, bertindak sebagai sebuah lajnah yang akan menggiatkan aktiviti PAS ke arah memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
Lajnah ini menggunakan segala kaedah yang bersesuaian dan mematuhi syarak sebagai cara untuk PAS bersama dengan rakyat bukan Islam.
Antara program yang dilaksanakan Lajnah ini, adalah sambutan perayaan pelbagai kaum (yang tidak bercanggah dengan aqidah Islam), aktiviti berbentuk kesukanan dan kesenian dan juga program berbentuk jamuan serta kebajikan untuk pelbagai bangsa dengan latarbelakang agama yang berbeza.
Bersempena keberadaan kita di dalam bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini, Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan aktiviti dakwah dan siyasah PAS.
Pada bulan ini, LPN telah mengemukakan cadangan dalam mesyuarat PAS Pusat yang lalu agar entiti organisasi di semua peringkat mengusahakan untuk menganjurkan majlis berbuka puasa bersama pelbagai kaum.
Biarpun ibadah puasa Ramadhan adalah eksklusif untuk umat Islam, tetapi tidaklah bersalahan dengan syarak untuk menjemput bersama rakan-rakan bukan Islam khususnya ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), untuk hadir bersama di dalam majlis berbuka puasa.
Dengan menghadiri program seperti ini, mereka akan didedahkan dengan adab-adab islami semasa berbuka. Majlis iftar ini juga boleh diserikan lagi dengan majlis dialog bersama pimpinan dan sumbangan kebajikan.
Sebagaimana yang kita tahu, dalam bulan yang mulia ini, umat Islam sangat dituntut untuk memperbanyakkan sedekah dan melakukan kerja-kerja kebajikan. Selain dapat memberi input berguna kepada pelbagai kaum berkaitan isu-isu yang berlaku belakangan ini, aktiviti berbuka puasa juga dapat mengeratkan lagi hubungan di antara PAS dan masyarakat itu sendiri.
Pada tahun ini, Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat akan menganjurkan Majlis Dialog dan Iftar Perpaduan dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Pahang. Program tersebut akan diadakan di Parlimen Indera Mahkota dan akan dihadiri oleh beberapa pimpinan.
Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat juga mengucapkan syabas kepada negeri-negeri dan kawasan-kawasan yang telah berusaha untuk menganjurkan program Iftar Perpaduan ini demi melebarkan lagi dakwah dan pengaruh PAS di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa dan kaum.
Melalui usaha kecil ini, kita juga berharap agar pandangan negatif terhadap PAS yang selama ini dimainkan oleh musuh PAS bahawa PAS adalah parti ekstremis, dapat dilenyapkan dan membuktikan bahawa PAS sebenarnya adalah sebuah organisasi yang membawa mesej kesejahteraan untuk semua seperti yang diajarkan oleh Rasulullah saw bahawa Islam membawa rahmat untuk sekelian alam.
DR. HJH NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Pengerusi
Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat
Sessi 2017/2019
Like & share : https://facebook.com/
{jathumbnail off}