Home Berita PAS Kedah

Ibu tunggal sara lapan anak dibantu ahli parlimen Jerai

260
SHARE

JERAI – Saat orang lain mampu tersenyum selesa dengan kehidupan sendiri, namun seorang ibu tunggal ini perlu berhempas pulas mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Nur Faizah Suleiman, 46 tahun yang ditinggalkan suaminya sejak dua tahun lalu bersama lapan orang anak terpaksa memikul tanggungjawab selaku ibu dan bapa sekali gus.

Anak sulungnya berusia 24 tahun dan bekerja di sebuah kedai serbaneka dalam membiayai keluarganya, sedang tujuh yang lain masih lagi bersekolah dan memerlukan perbelanjaan.

Menurut Nur Faizah, untuk menyara keluarga besarnya, dia meniaga nasi lemak di hadapan rumahnya di Taman Sejahtera Rakyat KEDA, Sungai Tok Pawang, Gurun di sini.

Alhamdulilah saya ada dapat bantuan zakat sebanyak RM500 sebulan, bolehlah tampung keperluan anak-anak.

Depa makin duk membesar, yang bongsu berusia sembilan tahun jadi banyak sikit la belanja yang diperlukan,” katanya.

Menurut Nur Faizah pendapatan jualan nasi lemaknya tidaklah banyak iaitu sekitar RM650 sebulan.

“Ada masa kena catu juga makanan untuk anak-anak supaya keperluan sekolah mereka lebih diberi keutamaan.

“Bagi saya dengan pendidikan sahajalah yang mampu mengubah taraf hidup kami sekeluarga,” katanya.

Keadaan keluarga ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit yang berkunjung ke rumah Nur Faizah dan menghulurkan bantuan keperluan harian.

Turut disampaikan Sabri adalah sebuah khemah untuk memudahkan urusan perniagaan nasil lemak yang diusahakan Nur Faizah.