Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

HWPU913 : Anggun Berseni Mempertahan Diri

150
SHARE

HWPU913 : Anggun Berseni Mempertahan Diri

Oleh : Khairunnashriah Binti Mohd

KUALA LUMPUR 13 SEPTEMBER – Persembahan seni mempertahankan diri daripada pasukan Seni Silat Lincah Malaysia menjadi pembuka tirai bagi slot Pentas Anak Muda dalam Himpunan Wanita Penyatuan Ummah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Persembahan penuh energetik daripada tujuh orang gadis yang berusia dalam linkungan 14 hingga 20 tahun ini adalah bertujuan menyedarkan para penonton berkenaan dengan kepentingan wanita dalam menguasai kemahiran seni mempertahankan diri.

Ketua persembahan seni silat lincah ini, Nurul Amirah Lukman yang ditemui pemberita mengulas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia ini telah mencapai mutu tersendiri apabila berupaya menghantar sebahagian ahli-ahli mereka ke pelbagai kejohanan yang bertaraf nasional dan antarabangsa.

Beliau turut menyampaikan khabar gembira berkenaan delegasi pasukan mereka yang dihantar ke negara Korea pada tahun ini bagi memperluaskan kegiatan pengajaran dan pembelajaran seni mempertahankan diri tradisi Melayu.

Menjadikan persembahan ini bersifat interaktif, demonstrasi tambahan berkenaan teknik-teknik melemahkan lawan sewaktu dalam situasi kecemasan turut diterangkan. Wakil penonton dijemput ke pentas untuk menjadi model mempraktis teknik mempertahankan diri ketika saat kecemasan.

Penonton memberi reaksi positif dengan persembahan dari pasukan Seni Silat Lincah Malaysia.

“Terasa seperti ingin mendaftarkan diri sertai pasukan silat sekarang juga. Ilmu yang sangat bagus untuk saat kecemasan,” komen Nadhirah salah seorang peserta yang hadir.