Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Hina Penghina, Hormati Sistem Beraja

134
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

15 RAMADAN 1442  l  27 APRIL 2021

HINA PENGHINA, HORMATI SISTEM BERAJA

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan yang membawa kepada penghinaan sistem Beraja yang telah diamalkan sekian alam di negara ini sejak dari Tanah Melayu sehinggalah pembentukan negara Malaysia. Apa jua penghinaan sama ada dalam bentuk karikatur, penulisan, siaran media dan isyarat semuanya adalah satu sikap melampaui yang mesti dielakkan dan dibendung sepenuhnya.

2. Sistem Beraja yang diamalkan telah bersebati sejak sekian lama oleh rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu kerana Raja atau Sultan di negeri-negeri merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri yang ditadbir manakala YDP Agong pula merupakan ketua negara bagi Malaysia dan juga Ketua Agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan. Peruntukan ini secara jelas berdasarkan kepada Fasal (2) dan Fasal (5) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

3. Pengamalan Sistem Beraja juga secara konseptual boleh difahami antara salah satu dari 3 perkataan iaitu khilafah, sultan dan imamah yang kesemuanya merujuk kepada bidang kuasa penguasa tertinggi dalam menjalankan penguatkuasaan ke atas rakyat atau orang yang dipimpin dibawahnya. Kefahaman mengenai bidang kuasa ini dapat dirujuk kepada definisi imamah itu sendiri sebagaimana yang dinukilkan dari Imam al-Haramain iaitu :

الإمامة رياسة تامة ، وزعامة تتعلق بالخاصة والعامة في مهمات الدين والدنيا

Maksudnya:
“Imamah adalah kepemimpinan menyeluruh dan kepemimpinan yang berkaitan dengan urusan khusus dan umum dalam kepentingan agama dan dunia.” (Lihat Ghiyath al-Umam,15) .

4. Tambah pula, pengamalan Sistem Beraja yang diamalkan di negara ini bukanlah sesuatu yang terpisah dan berasingan dengan Hal Ehwal yang melibatkan Islam. Peranan dan fungsi yang melibatkan punca kuasa Sistem Beraja sangat berkait dengan Islam malah menjadi satu keistimewaan bagi pelaksanaan Islam di negara ini. Ini terserlah melalui melalui sumpah jawatan YDPA [Jadual Keempat dibaca bersama Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan] dengan peruntukan yang diberikan kepada YDP Agong yang mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memelihara Islam pada setiap masa di negara ini.

5. Melihat kepada konsptual dan pengamalan Sistem Beraja yang termaktub dalam Perlembagaan jelas bahawa kepentingan memelihara dan menghormati institusi ini kerana ia menjadi simbol penjagaan agama Islam dan pemeliharaan kesuciannya yang jelas. Difahami dari itu, tindakan yang biadap dan penghinaan kepada Sistem Beraja ini hakikatnya mengundang kepada serangan jahat terhadap agama Islam di negara ini.

6. Penghinaan kepada Islam mesti ditentang agar maruah dan kesuciaan Islam terpelihara. Kita dapat bagaimana ketegasan Rasulullah SAW dalam memelihara maruah dan hak wanita yang diganggu oleh kalangan Yahudi Bani Qainuqa dan mereka bertindak zalim dengan membunuh pemuda Islam yang datang mempertahankan wanita tadi. Balasan yang diterima oleh Yahudi Bani Qainuqa tersebut adalah diperangi dan diusir kerana sikap melampaui dalam tindakan menghina sehingga membunuh. Beginilah Islam dalam mempertahankan hak dan maruah penganutnya. Maka lebih lagi jika maruah dan imej Islam dihina.

7. Amat membimbangkan pula apabila segala bentuk penghinaan yang berlaku kepada Sistem Beraja pada hari ini dipertahankan dan disokong atas alasan hak kebebasan bersuara. Hak kebebasan bersuara ada sempadannya, biar berdisplin dan usah menjadi kurang ajar. Islam memberikan hak kebebasan namun Islam jua menetapkan sempadannya iaitu pada perkara baik dan kebajikan sahaja.

8. Kita berpijak di bumi yang realitinya telah menjadi darah daging terhadap penerimaan dan pengamalan Sistem Beraja ini dan ianya mempunyai kaitan yang sangat dekat dengan bidang kuasa Islam yang diperuntukan. Maka semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama perlu patuh kerana ia terkandung dalam peruntukan Perlembagaan bawah Fasal (2), (3) dan (5) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Firman Allah SWT :

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا)

Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. – [Surah An-Nisa’ 59]

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)