Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 15

203
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 15

Ayat: 41: Pembahagian Ghanimah Secara Khusus

? Firman Allah serta terjemahannya:

۞وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا غَنِمۡتُم مِّن شَيۡءٖ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُۥ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا يَوۡمَ ٱلۡفُرۡقَانِ يَوۡمَ ٱلۡتَقَى ٱلۡجَمۡعَانِۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ

Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu per limanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk Rasul-Nya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnu-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada “Hari Al-Furqaan”, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

? Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat sebelum ini, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW dan umat Islam agar memerangi orang kafir sehingga tidak ada lagi perbuatan syirik. Dalam ayat ini pula Allah SWT menerangkan secara terperinci hukum ghanimah yang telah disebutkan secara umum diawal surah ini.

2. Al-Ghanimah ialah harta yang dirampas oleh tentera Islam daripada tentera musuh melalui peperangan, terdiri daripada segala jenis harta seperti wang, alat kelengkapan perang, kenderaan dan lain-lain yang dibawa dalam perang tersebut. Al-Fai’ pula adalah harta yang diperolehi oleh umat Islam daripada harta orang kafir yang dikuasai tanpa peperangan.

3. Allah SWT menetapkan hukum pembahagian ghanimah iaitu 1/5 untuk Allah dan Rasul. Bahagian ini kemudiannya akan dibahagikan kepada beberapa asnaf iaitu ahli keluarga baginda, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan musafir yang terputus belanja. Selebihnya, 4/5 lagi dibahagikan kepada semua perajurit yang menyertai peperangan tersebut.

4. Allah SWT juga menegaskan bahawa pembahagian 1/5 bahagian yang ditentukan oleh Allah dan Rasul melibatkan hak asnaf yang telah dinyatakan tersebut mestilah dilaksanakan dengan betul sebagai bukti keimanan dan keyakinan kepada Allah dan Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat ulama’ dalam perincian pembahagian harta 1/5 tersebut.

5. Al-Quran mula diturunkan pada 17 Ramadhan di Bukit Nur dan hari tersebut dinamakan hari al-furqan (hari pembezaan) kerana Al-Quran yang diturunkan itu menjadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan. Tarikh 17 Ramadhan juga adalah hari berlakunya Perang Badar yang menyaksikan pertempuran antara dua golongan iaitu golongan mukmin pembela kebenaran dan golongan kafir pembela kebatilan.

6. Di hujung ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa Dia Maha Berkuasa menentukan segalanya termasuklah memenangkan golongan beriman yang sedikit bilangannya dan mengalahkan tentera kafir yang ramai. Oleh itu, segala peraturan yang Allah turunkan mestilah dilaksanakan dengan sebaiknya.

? Pengajaran

1. Islam tidak menafikan keinginan manusia terhadap harta dunia. Namun, uruskanlah harta yang Allah SWT berikan dengan penuh amanah dan menjauhi penyalahgunaan kuasa serta monopoli.

2. Percaya dan yakin akan segala isi kandungan al-Quran serta berusahalah untuk mengamalkan Syariat dalam kehidupan dengan ikhlas. Inilah yang membezakan antara mukmin, munafik dan kafir.

3. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menjaga kebajikan rakyat terutamanya golongan rentan. Tunaikanlah setiap tanggungjawab dan hak yang ditetapkan oleh syarak agar segala tindakan yang dilakukan menjadi amalan soleh di sisi Allah SWT.

? Rujukan:
Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
27 April 2021 / 15 Ramadhan 1442