Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Hina Nabi: Letus Nyalaan Sumbu Gaduh Dan Kacau

309 views
SHARE

UMMU AL-FATEH 25 JULY 2019

KUALA LUMPUR: Umat Islam hendaklah sedia mempertahankan kehormatan Nabi sebagai insan pilihan yang maksum dari segala dosa, justeru para anbiyak juga telah dimuliakan, dipuji berulang-kali nama mereka disebutkan dalam Al-Quran.

Pengerusi Lajnah Pembangunan ‘Alimat dan Keluarga Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail meminta semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing agar isu hina Nabi seperti tersiar dalam Facebook atas nama Wendy Loong tidak akan berulang lagi.

Menurutnya, semua kementerian perlu merancang aktiviti ke arah perpaduan kaum dan saling menghormati agama lain serta pada masa yang sama turut memberi ruang kepada Islam untuk dimartabatkan sebagai agama rasmi negara.

“Sebarang anasir menggugat sensitiviti agama Islam yang menjadi pegangan majoriti penduduk Malaysia tidak boleh dibiarkan kerana ia umpama menyalakan sumbu yang boleh meletuskan pergaduhan dan kekacauan masyarakat seterusnya menggugat kestabilan negara.

“Kita ingin melihat Kerajaan PH mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menghina Islam sebagai agama rasmi negara seterusnya giat memberi keistimewaan kepada semua institusi Islam supaya kehebatan Islam dapat dilihat dan dirasai oleh yang bukan Muslim.

“Kerajaan juga perlu memartabatkan Islam pada kedudukan yang tertinggi, barulah masyarakat bukan Islam dapat menghormatinya, sebaliknya jika kerajaan sendiri kurang yakin kemampuan Islam mentadbir negara, ia boleh membuka ruang kepada kaum lain memperlekehkan Islam,” jelasnya.

Ustazah Mastura turut memetik sirah Rasulullah S.A.W. bahawa baginda mengambil pendekatan lemah-lembut kepada Musyrikin namun bertegas apabila mereka menentang Islam.

Katanya, ketegasan tindakan terhadap kumpulan yang menghina agama Islam amat penting dalam usaha kerajaan mendidik masyarakat saling-menghormati terutama di media sosial.

Beliau turut menyeru masyarakat majmuk di Malaysia agar mengambil peluang mempelajari Islam supaya ia dapat menghapuskan salah faham serta rasa curiga dengan Islam kerana tabiat manusia memusuhi apa yang mereka kurang memahami. – HARAKAHDAILY 25/7/2019