Home Berita PAS Kedah

Harungi badai Selat Melaka untuk hadir Muktamar

150
SHARE

OLEH: ROZAIDI TAIB

SUNGAI PETANI, 6 NOV-Perwakilan PAS Kawasan Langkawi membelah badai Selat Melaka yang bergelora ekoran ribut dan hujan lebat serta fenomena air pasang besar ketika ini untuk hadir ke Muktamar PAS Pusat kali ke-67 yang diadakan secara hibrid di The Jerai Hotel di sini , hari ini.

Mazlan Ahmad, Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan yang mengetuai delegasi 5 ahli Jawatankuasa PAS Langkawi menyatakan perkara berkenaan bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sering hadir ke program anjuran parti walau apa keadaan cuaca sekalipun.

“Minggu lepas kami dah mai untuk hadiri Konvensyen PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah dan semalam tidur di sini untuk Muktamar pagi ni, (Che) Zubir(Yang DiPertua PAS Kawasan Langkawi) pulak terus ke Terengganu untuk hadir Muktamar di sana.

“Dah biasa sejak dulu lagi walaupun sejak PKP ni jadual feri agak terbatas menyebabkan banyak masa yang terbuang di perjalanan,”katanya.

Mengulas mengenai ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar kali ini, Mazlan berkata penyatuan ummah yang diperjuangkan PAS adalah ditunjangi rasa ukhuwwah dan menuntut keikhlasan daripada semua pihak.

“Keluarga Malaysia yang ingin dibentuk mestilah saling hormat menghormati satu sama lain tanpa ada agenda tersembunyi,

“Janganlah bila lemah hulur tangan untuk penyatuan bila dah rasa kuat sikit mulalah nak letak bermacam syarat dan mendabik dada, ini bukan ikhlas namanya,” ujarnya.

Ditanya mengenai suasana politik di Langkawi, anak jati pulau lagenda itu menyatakan penerimaan masyarakat terhadap PAS semakin baik saban hari setelah melihat banyak perubahan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah khususnya peluang ekonomi dan kemakmuran jangka panjang untuk rakyat.

“Pengumuman demi pengumuman untuk kesejahteraan rakyat dibuat oleh Menteri Besar boleh kata saban minggu menampakkan kesungguhan Kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat,” tambahnya.

Bila disoal persiapan jentera dan calon untuk diketengahkan dalam Pilihanraya Umum ke-15 akan datang, beliau berkata jentera parti sentiasa bersiap siaga dan semua gerak kerja cakna rakyat, program kebajikan dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa berjalan seperti dirancang.

“Bab calon kita dah kenalpasti beberapa nama yang berpotensi untuk pertimbangan pihak atasan parti namun kami akan akur sekiranya calon selain senarai yang kami hantar diputuskan oleh pimpinan.

“Yang penting beliau(calon)mestilah seorang yang berintegriti, mesra rakyat dan ikhlas dalam perjuangan membela rakyat,” tegasnya.