Home Berita PAS Kedah

Hari Sukan Negara disambut dengan hibrid

48
SHARE

Oleh AMAL NABILA

LANGKAWI, 11 Okt – Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 pada tahun ini secara hibrid dan virtual merupakan kaedah terbaik semasa pandemik COVID-19.

Haji Sanusi berkata, HSN bertujuan untuk merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang aktif bersukan dan menjadikan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.

Sempena HSN 2021, lebih 200 aktiviti yang dianjurkan di seluruh negeri Kedah baik di peringkat negeri mahupun peringkat daerah dan komuniti-komuniti.

“Kepada mana-mana yang masih belum mendaftar untuk menyertai Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah masih boleh menyertainya dengan mendaftar di www.harisukannegara.my atau melayari facebook Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran HSN 2021 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Chenang, Pulau Langkawi.

“Marilah kita bersama-sama merencana perjalanan baharu untuk Malaysia dan Kedah amnya bermula pada Hari Sukan Negara di dalam era pendemik ini.

“Saya berharap agar seluruh rakyat negeri Kedah dapat menyahut seruan kerajaan ini dengan menjadikan aktiviti sukan dan gaya hidup sihat sebagai amalan yang berterusan walaupun dalam keadaan norma baharu,” ujarnya.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”