Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia : Akhbar Membentuk Persepsi Rakyat

589
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia : Akhbar Membentuk Persepsi Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia buat seluruh pengamal media dan akhbar sama ada bercetak mahupun elektronik.

Peranan akhbar sangat penting dalam menyampaikan berita dan maklumat yang telus kepada masyarakat untuk membentuk persepsi yang tepat terhadap sesuatu isu yang berlaku.

PAS telah mengorak langkah pada tahun 1987 dengan menubuhkan akhbar milik parti iaitu Harakah yang berfungsi menyebarkan maklumat terkini berkenaan PAS dan bertahan sehingga ke hari ini. Pada tahun 1997 pula telah dilancarkan Harakahdaily.

Dengan arus peredaran globalisasi hari ini, pengaruh akhbar cetak sudah menunjukkan aliran menurun dan masyarakat kini beralih kepada akhbar atas talian yang lebih dikenali sebagai “e-paper”.

Namun apa yang membimbangkan adalah etika kebebasan akhbar dijadikan lesen untuk sesetengah pengamal media dan akhbar yang tidak bertanggungjawab menulis berita tidak benar kepada masyarakat.

PAS menyarankan agar para penggiat akhbar konsisten dalam menyebarkan maklumat yang benar di samping menjaga etika kebebasan akhbar jika ingin melihat perkembangan positif terhadap informasi dan maklumat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Akhir sekali, ucapan terima kasih buat seluruh para penggiat akhbar yang bertungkus lumus menyampaikan berita kepada masyarakat meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
3 Mei 2020 | 10 Ramadan 1441