Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Peristiwa Jeram Ampai

15
SHARE

29 JUN 1894 (JUMAAT)

PADA hari ini dalam tahun 1894, sepasukan polis kerajaan Inggeris telah menyerang sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang.

Pasukan polis ini terdiri dari Polis Sikh Perak, Polis Sikh Selangor dan beberapa orang polis Melayu.

Kumpulan ini adalah sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Pahang yang dipimpin oleh Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi.

Dato’ Bahaman (Kredit foto : Google)

Dalam serangan ini seorang Pegawai Inggeris bernama Wise (Pemangku Penguasa Ulu Pahang) dan empat orang polis Sikh telah terbunuh manakala di pihak penentang-penentang pula dilaporkan 40 orang terbunuh.

Serangan ke atas kumpulan penentang-penentang di Jeram Ampai ini merupakan tindakbalas pihak Inggeris terhadap ancaman terbaru penentang-penentang di mana pada 14 Jun 1894 mereka telah menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis Sikh.

Kemudiannya mereka telah berundur ke Jeram Ampai iaitu empat batu dari Kuala Tembeling dan mendirikan benteng-benteng pertahanan.

Pada 18 Jun, Walter Egerton, Pemangku Residen Pahang dengan sepasukan Polis Sikh telah berkejar ke Kuala Tembeling. Pada 28 Jun, pasukan ini disertai pula oleh pasukan-pasukan Polis Perak dan Selangor yang diketuai oleh Penolong Penguasa Stewart, Leftenen Kolonel Walter, Kapten Lyons dan Kapten Talbot.

Dan pada pagi hari ini dalam tahun 1894 pasukan ini menyerang penentang-penentang tersebut di Jeram Ampai.

Peristiwa Jeram Ampai ini adalah merupakan salah satu daripada beberapa insiden dalam sejarah penentangan pejuang-pejuang pembebasan Pahang terhadap Inggeris di Pahang.

Ekoran daripada peristiwa ini Huge Clifford iaitu Residen British di Pahang telah melancarkan gerakan besaran-besaran memburu mereka hingga ke negeri Terengganu dan Kelantan.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia