Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Peperiksaan memasuki sekolah menengah dihapuskan

292
SHARE

6 MAC 1964 (JUMAAT)

PADA hari ini dalam tahun 1964, Kerajaan mengumumkan penghapusan peperiksaan kelayakan ke sekolah menengah.

Dengan pengumuman itu lebih daripada 150,000 orang murid darjah enam dengan sendirinya layak melanjutkan pelajaran ke tingkatan 1 tanpa menduduki apa-apa peperiksaan sehinggalah mereka dikehendaki mengambil peperiksaan SRP/LCE.

Peraturan itu telah diputuskan dalam satu Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra dan mula berkuatkuasa mulai tahun 1965.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Encik Abdullah Sahat, Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran dan Encik Aminuddin Baki, Penasihat Pelajaran.

Menurut peraturan baharu itu semua kelas menengah lanjutan akan dihapuskan. Peraturan ini juga adalah untuk menentukan bahawa semua pelajar akan berpeluang menerima pelajaran yang sama di semua sekolah di seluruh negara.

la juga bertujuan untuk menentukan semua murid akan mendapat pelajaran asas selama sembilan tahun, iaitu enam tahun di peringkat rendah dan tiga tahun di peringkat menengah rendah.

Dengan pelanjutan tempoh pengajian itu akan memberi peluang kepada murid-murid sekolah memilih mata-mata pelajaran serta mengasah bakat mengikut kecenderungan masing-masing sebelum menamatkan pengajiannya.

Semua perubahan yang dilakukan itu adalah juga hasil daripada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Pengkaji Semula Dasar Pelajaran yang dibentuk dalam tahun 1961.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia