Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Pengiriman hadiah Sultan Kedah kepada Gabenor Pulau Pinang

217
SHARE

02 JULAI 1818 (KHAMIS)

PADA hari ini dalam tahun 1818, Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin telah menghantar hadiah berupa empat ekor burung kepada Kolonel Bannerman, Gabenor Pulau Pinang.

Pengiriman ini dibuat oleh baginda sebagai tanda terima kasih kepada Kolonel Bannerman kerana menolong baginda membebaskan negeri Kedah daripada ancaman dan serangan Siam.

Sebelum ini, pada bulan November 1816, Raja Siam telah mengarahkan Sultan Kedah memerangi dan memaksa Sultan Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah menghantar bunga emas kepada Raja Siam.

Sultan Kedah enggan mematuhi perintah ini kerana baginda tidak mahu memusuhi Sultan Perak. Oleh itu, baginda telah meminta pertolongan Gabenor Pulau Pinang untuk mengatasi masalah tersebut.

Perak telah diserang oleh Siam tetapi Mr. Cracroft yang diutus oleh Kolonel Bannerman telah berjaya membuat perjanjian melindungi perdagangan bebas di Perak.

Beliau juga telah berjaya memujuk Sultan Perak supaya bersetuju menghantar bunga emas kepada Siam.

Kejayaan utusan Cracroft ini amat disenangi oleh Sultan Kedah. Ia bukan sahaja dapat mengekalkan hubungan baik antara Kedah dengan Perak malah dapat menjamin sebarang kemungkinan serangan Siam terhadap negeri Kedah.

Siam amat ditakuti pada waktu itu kerana usahanya untuk meluaskan pengaruh ke atas negeri-negeri Melayu Utara.

Berikutan kejayaan Cracroft dan persetujuan Sultan Perak mengirim bunga emas pada Siam, maka keselamatan negeri Kedah adalah lebih terjamin.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia