25 JANUARI 1954 (ISNIN)
PADA hari ini dalam tahun 1954, satu pengumuman telah dibuat berkaitan dengan penghapusan Darjah Tujuh Sekolah Melayu.
Penghapusan ini dibuat selaras dengan tujuan kerajaan untuk mengkhususkan mata pelajaran yang diajar dan mengawal perbelanjaan sekolah-sekolah di Tanah Melayu yang semakin bertambah.
Kebanyakan penuntut-penuntut yang tamat darjah tujuh di dalam sistem persekolahan sebelum merdeka, adalah layak untuk mengikuti latihan perguruan.
Kerajaan ketika itu berpendapat bilangan darjah tujuh perlu dihadkan supaya bilangan penuntut-penuntut di dalam darjah tersebut tidak melebihi kadar yang diperlukan di dalam perkhidmatan perguruan.
Walau bagaimanapun sistem darjah tujuh ini didapati kurang sesuai dan terpaksa dihapuskan. Sebagai gantinya, satu sistem persekolahan yang dinamakan darjah khas telah diadakan.
Penuntut-penuntut yang tamat dari Darjah Khas serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, boleh membuat permohonan untuk menjadi guru pelatih.
Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia.
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia