Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Pembubaran Malayan Union

1147
SHARE

21 JANUARI 1948 (RABU)

PADA hari ini dalam tahun 1948, Sir Edward Gent, bagi pihak Kerajaan British, dan Raja-Raja Melayu telah menandatangani perjanjian Pembubaran Malayan Union. Pembubaran itu telah memberi jalan kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Malayan Union yang ditubuhkan berasaskan kepada triti yang dibuat di antara Harold MacMichael dengan Raja-Raja Melayu tanpa mengikut perlembagaan, tradisi, kebudayaan dan pengertian tentang Negeri-Negeri Melayu telah mendapat tentangan hebat daripada orang-orang Melayu.

Tentangan menjadi semakin kuat dan padu dengan tertubuhnya UMNO pada 11 Mei 1946. Tentangan hebat dan tersusun itu sangat membimbangkan pihak British. Mereka mula sedar bahawa sokongan orang Melayu amat perlu sekiranya Malayan Union mahu wujud dan terus wujud.

Sir Edward Gent  (Kredit Foto : Google)

Menyedari hakikat ini Kerajaan British telah menghantar Kapten L. D. Gammans dan Lt. Col. D. R. Rees-Williams selaku wakil Parlimen Kerajaan British bagi meninjau pendapat orang Melayu.

Bagaimanapun, tentangan hebat orang Melayu itu tidak begitu memberi kesan dan tidak begitu membimbangkan pihak Kerajaan British di United Kingdom; lebih membimbangkan mereka ialah tentangan pegawai-pegawainya sendiri di Tanah Melayu yang akan melaksanakan dasar dan rancangan Malayan Union itu.

Ada di antara mereka telah lama berada di Tanah Melayu dan lebih memahami kehendak dan akibat tentangan orang-orang Melayu jika tidak diendahkan. Ralph Hone (Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam BMA) sejak awal lagi telah melaporkan kepada Pejabat Tanah jajahan bahawa Sultan-Sultan yang menandatangani Perjanjian MacMichael itu tidak menyedari sepenuhnya akibat perjanjian itu dan dengan itu beberapa pindaan hendaklah dilakukan terhadap cadangan Malayan Union itu.

Gabenor Sir Edward Gent sendiri, setelah berunding dengan Raja-Raja Melayu di Kuala Kangsar pada 24 Mei 1946, berani memberikan persetujuannya dengan cadangan-cadangan Raja-Raja Melayu itu terhadap penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Demikian juga dengan Mr Malcolm McDonald, Gabenor Jeneral, dan beberapa orang Pegawai Tinggi British di Tanah Melayu; mereka menyokong sepenuhnya rancangan Persekutuan Tanah Melayu oleh UMN0.

Akhirnya, bimbang dengan tentangan orang Melayu dan atas desakan para pegawainya sendiri pihak Kerajaan British di London terpaksa mengubah dasarnya terhadap Malayan Union. Rundingan-rundingan mulai diadakan di antara UMNO dan Raja-Raja Melayu dalam rangka pembentukan satu rupa Kesatuan yang baharu.

Rundingan-rundingan itu telah menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan pada hari ini dalam tahun 1948 DYMM Raja-Raja Melayu menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertempat di bilik jamuan King’s House (kini Carcosa) dan Sir Edward Gent menandatangani bagi pihak Kerajaan British.

Dengan itu maka tamatlah riwayat Malayan Union dan wujud Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dengan kuatkuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang baru ditandatangani itu.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia