Hargailah Jasa Doktor
Terima kasih kepada FRONTLINERS Malaysia. Tugas mulia mereka dalam menjaga kesejahteraan rakyat lebih-lebih lagi dalam suasana dunia diuji dengan wabak Covid-19 ini wajar dikenang tanpa mengira masa.
Pengorbanan mereka yang berdepan dengan risiko jangkitan penyakit ini semasa menjalankan tugas hanya dapat dibalas oleh Allah SWT.
Sungguh, pengorbanan mereka yang luar biasa dan amanah berat yang dipikul demi kesejahteraan seluruh umat manusia ini harus dihargai.
Sempena 30 Mac ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin mengucapkan Selamat Hari Doktor kepada para doktor khasnya di Malaysia.
Teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi terutamanya dalam saat sukar ini dan jangan berputus asa. Kami bersama kalian, berdoa agar Allah SWT memberikan nusrahNya agar kita berjaya mengharungi ujian ini dengan selamat.
Akhir sekali, ayuh rakyat Malaysia, kita membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan agar rantaian jangkitan virus Covid-19 ini dapat diputuskan. InsyaAllah.
“Selamat Hari Doktor”
“Malaysia Sejahtera”
“Islam Memimpin Wanita Sejahtera”
YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
5 Syaaban 1441
30 Mac 2020