Home Artikel PAS Perlis

Covid-19: Jabatan Amal Perlis Giat Sumbang Bantuan

437
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

KANGAR: Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis dengan kerjasama Malaysia Relief Agency (MRA) Negeri Kedah telah menghulurkan bantuan kepada 100 orang penerima baru-baru ini.

Bantuan berupa beras, ikan, bihun, kopi dan minyak masak itu telah diagihkan kepada mereka yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa.

Selain itu, bantuan turut diberikan kepada mereka yang sedang dikuarantin secara berpusat oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dekat sini.

Menurut Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis, Amirul Jufri, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk melaksanakan gerak kerja kemanusiaan di negeri ini.

“Pada masa yang sama, Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Relief Agency (MRA) Negeri Kedah kerana memberikan kepercayaan kepada kami dalam menguruskan proses penyerahan bantuan kepada penduduk di sini.

“MRA sentiasa dekat dengan Perlis, buktinya mereka pernah memberikan bantuan kecemasan di sini ketika kejadian ribut yang melanda negeri ini tahun lalu.

Insya-Allah, pihak kami sentiasa bersedia bekerjasama dengan MRA bagi menjayakan sebarang gerak kerja misi kemanusiaan di Perlis,” katanya ketika dihubungi di sini.