Home Artikel PAS Melaka

Hargai Jasa Wira Negara, JPrD PAS Duyong Sumbang Kek dan Makanan

630
SHARE

Oleh : SHAWAL AHMAD

KOTA MELAKA : Kesediaan untuk berada dalam situasi berisiko tinggi seperti ancaman wabak COVID-19 adalah bukti nyata Wira Negara iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sanggup berkorban untuk masyarakat dan negara.

Demi mengenang pengorbanan seluruh anggota polis ini, Jabatan Pilihanraya Dun (JPrD) PAS Duyong di bawah PAS Kawasan Kota Melaka telah mengedarkan sumbangan kit makanan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK), Bukit Beruang Melaka di sini hari ini.

Sementara itu Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka turut membantu menjayakan program ini dengan menyumbangkan sebuah kek sempena Hari Polis Ke 213 kepada PDRM Melaka. Kek tersebut telah disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kota Melaka, Noorfazilah Ismail.

Setiausaha PAS Kawasan Kota Melaka, Abd Samad Mohd Dahan yang turut sama dalam program itu berkata, peranan penting PDRM itu sinonim dengan tema Hari Polis 2020 ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ yang sentiasa memastikan kesejahteraan dan keamanan komuniti dan persekitaran terjaga.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan program kebajikan ini. Beliau berharap agar semoga kerja ini diterima sebagai amal kebajikan yang dapat memberikan manfaat, juga dianugerahkan pahala berguna buat mereka yang terlibat memberikan apa jua bantuan sama ada berbentuk kewangan, tenaga dan masa yang bernilai.

Firman Allah yang bermaksud:

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” Surah Al Baqarah Ayat 261.

Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik yang hadir sebagai tetamu kehormat pada program itu berkata pihak PAS amat menghargai dan berterima kasih terhadap segala usaha keras pasukan keselamatan termasuk pasukan kesihatan dalam usaha mereka mengekang ancaman wabak Covid-19.

“Sehubungan itu, kami terpanggil untuk meringankan sedikit tugasan mereka dengan menyalurkan sumbangan makanan sebagai tanda sokongan dan menyuntik semangat kepada anggota pihak berkuasa.’’ Ujarnya.

Pada masa yang sama, Kamaruddin menyeru seluruh anggota masyarakat khususnya di Melaka untuk memberikan kerjasama padu terhadap usaha kerajaan dengan mematuhi perintah pergerakan.

Pihak Polis yang ditemui di dalam program tersebut mengucapkan penghargaan terima kasih atas sumbangan dan keperihatinan PAS Melaka.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Mohd Puhat Bedol, Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Melaka, Zainudin Latif, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka, Noorfazilah Ismail, Ketua Penerangan JPrD Duyong, Zohdi Umar dan Ahli Jawatan Kuasa JPrD Duyong.