Home Kenyataan Media Presiden PAS

Harapan Rakyat Diutamakan

1525
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS
HARAPAN RAKYAT DIUTAMAKAN

Dialu-alukan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14. Namanya Pakatan Harapan, adapun parti-parti gabungannya tetap berbeza ideologi dan harapan. Kebanyakannya adalah serpihan daripada parti telah sedia ada, melainkan DAP yang dilahirkan daripada PAP selepas Singapura dipisahkan daripada Malaysia. Pakatan bersama dan bersatunya bagi menjatuhkan BN.

BN yang memerintah, dahulunya Perikatan, pasti mempertahankan kedudukan dan kuasanya, tanpa peduli terhadap kesalahan dan salah laku atau berhasrat membetulkan kesilapan dan kelemahannya dalam masa yang terlambat dan sifatnya sudah berusia tua. Namun adat dunia, tidak ada kerajaan yang kekal selama-lamanya melainkan Kerajaan Allah S.W.T. Bahkan tidak kekal juga termasuk kerajaan yang ditegakkan oleh para Rasul A.S selepas kewafatannya, apabila dimakan usia pasti mengalami penyakit dan kelemahan sifat makhluknya.

Benarlah firman Allah:

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (1) الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (2(

“Maha berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan Yang Menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; (1) Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (2)” (Surah Al-Mulk: 1-2)

Adapun parti yang menentang kerajaan pasti mahu menjatuhkan kerajaan BN. Hasratnya sama ada mahukan perubahan mengikut ideologi yang menjadi perjuangannya atau sekadar mengambil alih kuasa dan peluang berkuasa tanpa melakukan apa-apa perubahan kerana ideologinya tetap sama sahaja.

Keputusan pilihan raya bersifat demokrasi ala Barat bergantung kepada keberkesanan kempen yang menjadi senjata demokrasi bebas boleh mempengaruhi rakyat dengan jumlah paling ramai atau majoriti paling besar.

Ilmu, kebijaksanaan, benar dan salah bukan keutamaan. Senjatanya 3M; Media, Money dan Machinery. Kini Media Sosial tanpa sempadan menjadi senjata utama selepas politik wang, tipu dan ugutan, khususnya dalam politik sekular yang terpisah daripada agama.

Sepatutnya, selepas Pilihan Raya Umum kewajipan menyelamatkan negara lebih penting daripada segala-galanya. Rakyat yang menjadi rukun kepada semua negara hendaklah diutamakan. Harapan Rakyat lebih tinggi daripada Pakatan Harapan (PH) yang berbeza ideologi dan tujuan itu.

Jangan sekali-kali rakyat menjadi mangsa politik selepas pillihan raya, sama ada yang menyokong kerajaan terlalu gembira sehingga leka, atau yang tidak menyokong, termasuk yang tidak mengundi kerana mahu memulau pilihan raya atau bebal politik tanpa berfikir bahawa politik tetap mempengaruhi seluruh kehidupan rakyat sama ada makan minum, sehinggalah pakaian dan tandas. Keselamatan dan alam sekitarnya juga berkait.

Perlembagaan Negara yang berkonsepkan Islam Agama Persekutuan, serta kebebasan berbagai agama mengikut sempadan undang-undang hendaklah dihormati, kerana telah lama berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat majmuk. Hak Bumiputera yang masih ketinggalan sejak zaman penjajah dahulu tanpa membiarkan kaum yang lain dalam kesusahan, hendaklah ditangani berkonsepkan adil untuk semua.

Sistem Federalisma yang diabaikan oleh BN jangan diulangi lagi. Walaupun banyak Kerajaan Negeri tidak seperti dahulu, berlainan parti daripada Kerajaan Pusat.

Semua perkara tersebut diingatkan, bukan laksana itik mengajar itik berenang yang sifatnya sudah pandai berenang, tetapi mengingatkan bahawa kita semua dalam satu negara laksana satu bahtera. Merealisasikan apa yang disebut oleh Rasulullah S.A.W:

مَثَلُ القَائِمِ في حُدُودِ اللهِ وَالوَاقعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أعْلاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، وَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنَا، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أرَادُوا هَلَكُوا جَميعًا، وَإنْ أخَذُوا عَلَى أَيدِيهِمْ نَجَوا وَنَجَوْا جَميعًا». رواه البخاري.

“Bandingan orang yang berkuasa menjaga sempadan Allah dan orang yang jatuh ke dalam melanggar sempadan itu, laksana satu kaum yang berada dalam sebuah bahtera (kapal yang besar). Maka sebahagian daripada mereka berada di tingkat paling atas dan sebahagiannya pula berada paling ke bawah. Mereka yang berada paling bawah itu apabila memerlukan air terpaksa melalui mereka yang berada di atas. Lalu mereka berkata: “Kalau kita tebukkan sahaja bagi mendapat yang kita mahu tanpa menganggu mereka yang berada di atas?”. Kalau dibiarkan mereka (yang di bawah bertindak menebuk bahtera) nescaya semuanya binasa (tenggelam), kalau dihalang melakukannya nescaya semuanya selamat.” (Riwayat Al-Bukhari) 

Dalam keadaan semua pihak merasakan dialah yang kuat dan penting, maka boleh berlaku perkara yang tidak diingini yang besar padahnya kerana terlalu gelojoh, sehingga menebuk bahtera atau berebut memandu atau berlaku pertembungan hala tuju yang berbeza.

Sepatutnya diutamakan harapan rakyat yang besar jumlahnya tidak faham politik, menghadapi masalah kehidupan yang menekan dari segi jati diri kerana moral yang rapuh, ekonomi, pendidikan, keselamatan dan keamanan. Siapa sahaja yang memegang tampuk pemerintahan mengurus hasil dan harta yang sama, mentadbir dengan jentera yang sama dan memimpin rakyat yang sama.

Kepada yang menang, percayalah bahawa kewajipan mengisi kemenangan lebih berat daripada kerja mendapat kemenangan. Berwaspadalah bahawa pengampu kepada yang menang lebih ramai daripada yang berani memberi nasihat.

Sila ambil iktibar daripada Khalifah Abu Bakar R.A menyampaikan ucapan apabila dipilih menjadi Ketua Negara:

“Wahai Tuan-tuan! Saya dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya betul, tolonglah saya, sekiranya saya salah perbetulkan saya. Benar adalah amanah. Bohong adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku kembalikan haknya yang dirampas oleh orang yang kuat. Orang yang kuat adalah lemah di sisiku, sehingga aku bertindak ke atasnya mengambil daripadanya hak orang yang dirampas. Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Sekiranya aku tidak mentaati Allah dan Rasul, jangan sekali-kali mentaatiku”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Ramadan 1439 / 22 Mei 2018