Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Hapus Kepentingan Ekonomi Melayu?

1029
SHARE


Kenyataan Media Penerangan. 211/82
13 Dzul Qa’edah 1439 | 26 Julai 2018

HAPUS KEPENTINGAN EKONOMI MELAYU?

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan


1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menuntut jaminan daripada Kerajaan Persekutuan supaya penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) tidak mengetepikan kepentingan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

2. Asas tuntutan ini dikemukakan kerana bimbang polisi-polisi ekonomi yang lebih liberal akan diperkenalkan berdasarkan meritokrasi sehingga mengabaikan kontrak sosial, dasar afirmatif dan peruntukan khas seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

3. PAS mendesak keputusan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan kepentingan umat Islam dan orang Melayu mesti dirunding bersama pemegang taruh (stakeholders) dalam kalangan parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berteraskan Melayu-Islam termasuk tokoh-tokoh yang berpengaruh.

4. Pakatan Harapan perlu sedar berdasarkan laporan PRU Ke-14 daripada badan-badan kajian terkemuka menunjukkan PH hanya memperoleh sekitar 25% hingga 30% sahaja sokongan daripada pengundi Melayu.

5. Oleh sebab itu, dasar-dasar ekonomi yang mahu dirombak harus mengambil kira kedudukan majoriti rakyat di Malaysia.

6. Kerajaan Persekutuan disaran turut mengambil input-input untuk mengimplementasi model ekonomi Islam sepertimana yang pernah disarankan oleh Profesor Adjung Kamal Salih ketika berbincang dengan Majlis Penasihat Kerajaan awal bulan lalu.

7. Keadilan pengagihan ekonomi yang mahu dicapai mestilah bermula dengan menghapuskan amalan kronisme, monopoli, kleptokrasi, korupsi, rasuah dan penstrukturan sistem percukaian yang lebih baik.

8. Sekiranya terdapat matlamat-matlamat utama yang masih gagal dicapai dalam DEB dan MEB, maka strategi pelaksanaannya yang harus diperbaiki bukan sasarannya yang dirombak.

Sejahtera Bersama Islam

Terima kasih.