Home Berita PAS Kelantan

Hampir RM4 juta peruntukan naik taraf lokasi tumpuan

83
SHARE

KOTA BHARU, 18 Jul: Sejak kempen Kelantanku Bersih dilancarkan, kebersihan di lokasi tumpuan telah meningkat dan menunjukkan prestasi positif. Kerajaan Kelantan istiqamah memberi perhatian serius dalam meningkatkan insfrastruktur kebersihan lokasi tumpuan.

Sebanyak RM 3,998,632 peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan tersebut. RM1,560,400 dana bagi menaik taraf pasar dan gerai, RM859,062 pula bagi menaik taraf stesen bas dan kemudahan awam, dan RM1,579,170 disalur melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menaik taraf tempat rekreasi masing-masing.

Menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama di persidangan kali yang kedua bagi tempoh penggal yang kelima Dewan Negeri Kelantan Ke-14, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, YB Dr Izani Husin berkata sebelum ini, Kelantan dilabel sebagai negeri kotor dan rakyatnya pengotor.

“Setelah kita mulakan kempen Kelantanku Bersih daripada tahun 2019 sehingga kini, perancangan oleh pihak Kerajaan Tempatan dan PBT seluruh Kelantan, kenyataan tersebut sudah tidak kedengaran lagi”, katanya, hari ini.

Tambahnya, pelbagai peruntukan yang telah disalurkan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri yang berharap inisiatif tersebut dapat memelihara dan mewujudkan persekitaran kawasan tumpuan yang bersih, indah dan ceria. Sekali gus, memaparkan imej terbaik bagi menarik lebih ramai pelancong dan pelabur datang ke Kelantan.