Home Berita PAS Kedah

“Hampa nak kawan hampa mai, hampa nak lawan hampa tunggu”

421
SHARE

PADANG TERAP – Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, berkata UMNO Kedah boleh menumpang kekuatan PAS di negeri ini sekiranya mereka mahu menjalinkan kerjasama.

“Saya tambah jadi 22 kerusi boleh dimenangi PAS Kedah, pada asasnya, PAS tengah kuat di Kedah, jika harimau (UMNO) yang kena tembak rebah, harimau tu nak bangun berdiri ia tak sekuat dulu (kalau dia nak lawanlah).

“Kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kuat kita tu, dia nak lawan, saya rasa dia tak segagah dulu. Ada pelurulah dalam badan dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran jentera pilihan raya PAS Kedah yang disempurnakan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan turut dihadiri Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yahaya di Naka, dekat sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah memaklumkan setiap tindakan yang dilakukan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dilakukan dengan berhati-hati supaya UMNO Kedah tidak berkecil hati.

“Itu yang kita konsisten dan istiqamah selama ini. Apa saja keperluan tentang pelantikan, contohnya, kalau kuota itu milik UMNO, kita akan minta nama daripada Badan Perhubungan UMNO (negeri).

“Kita tak pernah buat macam mereka buat jika tempat itu pernah kita beri kepada UMNO, apabila kita tak suka atau kita kecil hati, kita lantik orang kita PAS,” katanya.

Hampir 15,000 penyokong PAS hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah, malam tadi.