Home Berita PAS Melaka

Rencana: Rasulullah SAW pembela kaum wanita

1411
SHARE

Oleh : Siti Hajar

TAK kenal maka tak cinta. Ya, mungkin itulah ungkapan yang sesuai diucapkan kepada golongan yang memandang sinis dan sering mempercayai imej negatif yang dilemparkan kepada kekasih hati umat Islam, Nabi Muhammad pembawa rahmat sekalian alam.

Semenjak munculnya gerakan feminisme pada abad ke-17 yang asalnya bermula daripada rasa tidak puas hati wanita barat terhadap ajaran kitab suci, akhirnya lama-kelamaan turut mempengaruhi pemikiran wanita Muslimah pada era 1990-an.

Islam dikatakan agama yang tidak adil terhadap wanita. Nabi Muhammad SAW menjadi sasaran utama tuduhan-tuduhan yang tidak berasas tanpa memahami konteks kehidupan dan hubungan Rasulullah SAW yang berkait dengan golongan wanita.

Ketahuilah, martabat wanita sebelum kedatangan Islam adalah rendah dan tiada nilai. Seperti kepercayaan bangsa Yunani kuno yang wujud kira-kira 3200 sebelum masihi, wanita dianggap sebagai sumber penyakit dan bencana malah kaum wanita tidak dibenarkan mewarisi harta pusaka.

Pada zaman Confucius iaitu seorang ahli falsafah berbangsa Cina, isteri yang kematian suami akan ditanam hidup-hidup bersama mayat suaminya. Demikian juga buruknya nasib wanita bangsa Rom yang dianggap sebagai najis dan benda yang tidak memiliki roh. Selain itu, wanita yang bergelar balu disarankan untuk membunuh diri sendiri setelah kematian suami.

Tidak kurang hebat penindasan ke atas wanita pada zaman Arab jahiliah. Memiliki cahaya mata perempuan umpama suatu kehinaan bagi bangsa Arab ketika itu. Anak perempuan yang dilahirkan akan ditanam hidup-hidup dan wanita dijadikan alat pemuas nafsu sehingga nasab anak dalam kandungan caca marba tanpa mengetahui siapa sebenarnya bapa kandung anak tersebut.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 107 yang berbunyi ;

وَمَاۤ اَرۡسَلۡنٰكَ اِلَّا رَحۡمَةً لِّـلۡعٰلَمِيۡنَ

Maksudnya : “Dan kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”

Hadirnya pembawa risalah Islam menjadi rahmat dan penyelamat buat wanita dan sekalian makhluk. Rasulullah SAW membela nasib janda yang kehilangan suami sekaligus membela nasib anak yang kehilangan ayah. Poligami Rasulullah SAW bersandarkan wahyu untuk menyelamatkan mereka yang lemah.

Bahkan Rasulullah SAW sebenarnya sedang memuliakan wanita dengan perkahwinan yang halal dan pemberian nafkah yang sempurna, bukan seperti mereka yang menuding jari mengatakan Baginda berpoligami kerana nafsu semata-mata. Sebaliknya mereka juga ‘berpoligami’ tetapi dengan cara yang tidak sah apabila mereka mengamalkan budaya seks bebas dan mempunyai perempuan simpanan.

Di samping itu, Rasulullah SAW banyak menunjukkan contoh mengangkat kemuliaan anak perempuan dalam kehidupan Baginda SAW, yang memiliki empat orang anak perempuan dan dididik dengan penuh kasih sayang. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menjanjikan kelebihan yang besar kepada mereka yang mempunyai anak perempuan.

“Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu dia bersabar dengan karenah mereka, kesusahan dan kesenangan dalam membesarkan mereka, maka Allah akan memasukkannya ke syurga kerana rahmat-Nya kepada mereka.” Lantas seorang lelaki bertanya, “Bagaimana kalau hanya dua orang wahai Rasulullah?” Jawab Baginda, “Sekalipun hanya dua orang.” Seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, sekiranya hanya seorang?” Jawab Baginda, “Dan seorang.”
(Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Rasulullah SAW sentiasa meraikan persoalan-persoalan para wanita dan mengembalikan jawapan yang memuaskan hati mereka. Antara kisah yang menarik ialah bilamana seorang wakil kaum wanita bertemu Baginda SAW menyampaikan hajat sekumpulan wanita bertanyakan soalan mengenai amalan untuk wanita agar diberi ganjaran pahala yang sama seperti lelaki yang berjihad di jalan Allah.

Maka Rasulullah SAW bersabda:
“Mentaati suami mereka dan melaksanakan hak-haknya. Sedikit dalam kalangan kamu yang melakukannya.” (Riwayat At-Thabrani)

Subhanallah, begitu tingginya kefahaman para sahabiah wanita ketika itu. Mereka menuntut hak wanita pada tempatnya kerana meyakini Allah telah menciptakan lelaki dan wanita dengan fitrah dan kemampuan yang tidak sama. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam menjalani kehidupan dunia untuk kesenangan di akhirat kelak.

Selain itu, martabat wanita diangkat dalam Islam dengan memuliakan kedudukan seorang ibu. Sembilan bulan seorang ibu menanggung kepayahan membawa janin di dalam rahim dan kemudian terpaksa bertarung nyawa melahirkan seorang anak. Oleh demikian, para ulama mengatakan hadis riwayat Abu Hurairah yang mengandungi kalimah ibu sebanyak tiga kali, merupakan sebab seorang ibu diutamakan melebihi orang lain atas kesusahannya menguruskan anak.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
“Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?” Baginda menjawab, “Ibumu!” Orang tersebut kembali bertanya, “Kemudian siapa lagi?” Baginda menjawab, “Ibumu!” Orang tersebut bertanya kembali, “Kemudian siapa lagi?” Baginda menjawab, “Ibumu”. Orang tersebut bertanya kembali, “Kemudian siapa lagi?” Baginda menjawab, “Kemudian ayahmu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, terdapat banyak hujah yang dapat menolak dakwaan negatif terhadap peribadi Rasulullah SAW. Hadis-hadis perihal keperibadian terpuji Baginda SAW disampaikan oleh para sahabat yang jujur mengikut tradisi keilmuan Islam tanpa ada keraguan dari sudut sanad dan matan. Sifat lemah lembut dan empati Baginda SAW menjadikan Baginda adalah hero dan pembela kaum wanita yang telah ditindas yakni sebelum kedatangan Islam lagi!

Penulis adalah ahli Grup Penulis PAS Melaka (GPPM) dan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)