Home Berita PAS Kedah

Hajah Mardzi berumur 108 tahun, warga tertua di Kedah

406
SHARE

Oleh YUSUF ABU BAKAR

ALOR SETAR, 10 Okt –  Umurnya 108 tahun dan pernah mengalami gelora Perang Dunia Kedua ketika tentera Jepun menakluki Tanah Melayu.

Ketika majoriti generasinya sudah kembali menemui Ilahi, nenek Hajah Mardzi Abu Bakar masih boleh menjadi buku sejarah hidup yang dapat mengingati dan bercerita mengenai sejarah perang dan penjajahan Jepun selama tiga tahun lapan bulan (1942-1945).

Beliau lahir pada tahun 1913 mengikut kad pengenalan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, Kedah.

Nenek yang masih boleh melihat dengan jelas dan memiliki pendengaran yang baik berkata, ketika Jepun menyerang Kota Kuala Muda, beliau dan keluarga dibawa bapanya ke hutan nipah berhampiran Sungai Muda.

“Tentera Jepun datang dari Permatang Bendahari (Seberang Perai Utara) ke Kota Kuala Muda dan kampungnya berjalan kaki.

” Habis masjid Hj Kudong diceroboh dan merosakkan jam di masjid itu.

” Kami sempat menyembunyikan radio di dalam timbunan sabut kelapa bagi mengelak dirampas tentera Jepun, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Haji Kudong.

Mengenai penjajahan Jepun, Mardzi berkata, orang kampung hanya makan ubi kayu untuk meneruskan kehidupan.

“Abang saya membawa kereta lembu untuk mengangkut ubi kayu dari Bukit Selambau (anggaran jarak 30 kilometer) ke kampung dan memberikannya kepada penduduk kampung dan adik beradik.

Beliau berkata, zaman Jepun masih boleh makan kerana penduduk tanam padi dan ada ikan air tawar dari bendang dan sungai.

Mengikut salasilah keluarga, Mardzi berketurunan dari Daeng Parani, seorang dari Bugis Lima Bersaudara yang jenazahnya dikebumikan di Sidam Kiri, Sungai Petani.

Beliau juga mempunyai kaitan keluarga ulama Syeikh Waksa Musa dari Patani yang pernah membuka pondok pengajian kitab di Kota Kuala Muda sebelum berhijrah dan menetap di Makkah.

Menceritakan bagaimana ibunya mampu mengingati kisah silam, anaknya, Asri berkata setiap hari dia akan bersembang dan bergurau dengan ibunya.

“Daya ingatan emak saya masih kuat kerana setiap hari saya bersembang, kadang-kadang bergurau.

“Kalau emak termenung, kami akan bercerita dengan dia menghiburnya.Daya ingatannya cukup kuat kerana dia sentiasa membaca al Quran dan berzikir, “katanya.

Asri berkata, menjaga orang tua perlu banyak bersabar, kita tidak boleh biarkan dia keseorangan.

Sementara seorang lagi anaknya, Hj Adnan berkata, sejak PKP ini anak cucu emaknya tidak dapat pulang.

“Bila rentas negeri dibuka, anak cucu akan dapat balik berjumpa nenek mereka,” katanya yang tinggal di Tikam Batu.

Mardzi mempunyai 8 anak, 23 cucu dan sembilan cicit. Sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kedah 2021, Hajah Mardzi menerima Anugerah Warga Emas Tertua Negeri Kedah kategori Wanita.

Sumbangan telah disampaikan oleh Yb Halimaton Shaadiah Saad, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Negeri Kedah bersama ADUN Pantai Merdeka YB Ust Ahmad Fadzli Bin Hashim, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Shaballah Zainal Abidin serta kakitangan JKM Negeri Kedah.