GUA MUSANG: Sikap tolak ansur kerajaan seperti tidak dihiraukan sekumpulan masyarakat Orang Asli apabila meneruskan sekatan laluan ke Pos Tohoi.
Penghulu Jumak Abak dari Kuala Betis berkata, guru-guru yang menggunakan laluan itu untuk ke Sekolah Kebangsaan Tohoi juga disekat.
Katanya, kumpulan guru guru yang datang hendak bertugas di sekolah itu terpaksa berpatah balik ke Gua Musang.
“Begitu juga penduduk Orang Asli dari perkampungan di Pos Tohoi pun dihalang dan tidak dibenarkan keluar atau masuk melalui jalan yang dibina syarikat pembalakan.
“Perbuatan kumpulan Jaringan banyak menyusahkan orang ramai. Kerajaan dan pihak berkuasa perlu bertindak tegas kerana tindak tanduk kumpulan itu menyusahkan orang lain,” katanya di sini.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri minggu lepas, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah memberitahu kerajaan negeri banyak bertolak ansur dengan masyarakat Orang Asli.
Sekatan laluan lori balak dilakukan kumpulan Jaringan sejak akhir 2016 dengan didalangi pihak tertentu.
Malah pada tahun lepas sekumpulan ditahan polis kerana terbabit dengan sekatan laluan tersebut. – HARAKAHDAILY 31/7/2018
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/7605-guru-dihalang-masuk-ke-sk-tohoi