Home Berita PAS Melaka

Gerbang ilmu : Singapura keluar dari Malaysia

786
SHARE

Slot GERBANG ILMU ini akan memetik beberapa muka surat daripada buku-buku terpilih yang mengandungi ilmu atau maklumat penting yang berfaedah dalam membina minda orang ramai.

 

Buku : Propagandis Zaman

Penulis : Subky Latif

Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd

Tahun diterbitkan : 2012

Petikan : Bab -12 Muka surat 263 hingga 267

 

Singapura keluar dari Malaysia

SAYA masih bertugas di Pulau Pinang. Satu petang saya bermotokar dengan abang, Ustaz Baharuddin, yang dipandunya dari Bagan Serai ke Gunung Semanggol. Di Masjid Tinggi abang memotong sebuah kereta yang dipandu perlahan. Pemandunya ialah Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ahli Parlimen PAS Bachok. Dia sendirian.

Abang memberhentikan motokar dan menahannya. Kedua-duanya bercakap sesuatu di tepi jalan itu. Setelah abang memandu semula motokar, dia memberitahu Abu Bakar hendak ke Kuala Lumpur kerana esok ada sidang khas Parlimen sehari. Abu Bakar tidak tahu apa yang hendak dibincangkan. Yang dia tahu ada sidang khas esok.

Petang esoknya tersebar berita ke seluruh dunia, Singapura dikeluarkan dari Malaysia. Parlimen Malaysia meluluskan sebulat suara usul tergempar Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Tiada seorang pun yang menentang termasuk Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura yang menjadi anggota Dewan Rakyat PAP dari Singapura.

Reaksi Lee Kuan Yew, dia dikatakan menitiskan air mata. Lee Kuan Yew berjuang sejak PAP ditubuhkan untuk mencantumkan Singapura dengan Malaysia. la bermula dengan reaksi dingin Tunku Abdul Rahman hinggalah akhirnya dia bersetuju dengan kemahuan politik Lee itu, tetapi bukan dengan Singapura saja, bahkan Brunei, Sabah dan Sarawak mestilah digabungkan sama dengan Tanah Melayu dalam percantuman yang lebih besar di bawah nama Malaysia.

Tiba-tiba baru sekitar dua tahun bersama, penat memperjuangkannya belum habis, Singapura disuruh keluar, atau dalam erti kata diplomasi yang berbahasa beradab, ia dimerdekakan.

Terjadi permusuhan sengit antara Tunku dan Sukarno dan hampir tercetus perang terbuka antara Indonesia dan Malaysia atas pembentukan Malaysia yang antaranya ialah memasukkan Singapura sama dalam Malaysia. Tiba-tiba sesudah dibentuk Malaysia tanpa Brunei dengan segala susah payah, ditendang pula Singapura daripada Persekutuan Malaysia. Parlimen hanya bersidang beberapa jam saja memutuskan Singapura terkeluar daripada peta Malaysia. Di manakah betul dan bijaknya, mencantumkan Singapura ke dalam Malaysia atau mengeluarkannya dari Malaysia?

Keputusan mengejut itu berjaya meredakan suhu panas yang melanda Malaysia sejak ia tertubuh pada 16 Setember 1963 justeru adanya politik nakal Lee Kuan Yew yang dilihat menyakat orang Melayu. Lee Kuan Yew menyakat dalam semua perkara. Gara-gara sakat itu menimbulkan suhu iklim perkauman yang mendidih di tengah masyarakat. Macam-macam boleh terjadi jika suhu itu tidak dapat dikawal.

Tunku masuk hospital

Gara-gara sakat Lee Kuan Yew riuh-rendah orang Melayu yang dipimpin oleh UMNO menggesa Tunku Abdul Rahman bertindak menahan Lee Kuan Yew di bawah ISA seperti yang dikenakan kepada aktivis komunis dan pro-komunis di Semenanjung dan di pulau itu dan kepada tokoh politik pembangkang yang didakwa bersubahat dengan Sukarno menentang pembentukan Malaysia.

Tunku dirasakan benar-benar tertekan. Di kiri dia berdepan dengun kenyataan-kenyataan provokasi Lee Kuan Yew. Di kanan dia berdepan dengan reaksi orang Melayu yang menjadi penyokong kuat Tunku dan UMNO mendesak supaya Lee ditahan. Kalau Dr. Burhanuddin Al-Hilmy dan Ahmad Boestamam boleh ditahan 1SA mengapa tidak Lee Kuan Yew?

Singapura Keluar dari Malaysia

Dalam suasana yang panas itu Tunku masuk hospital di England. Apa sakitnya? Mungkin sakit perasaan. Sekeluarnya dari hospital Tunku memanggil Sidang khas Parlimen dan mengemukakan usul mengeluarkan Singapura dari Malaysia. Adakah dia masuk hospital untuk mendapatkan rawatan atau memikirkan apa patut dibuat dengan politik Lee Kuan Yew? Kerana tidak ada lanjutan tentang berita kesihatannya selepas itu, yang besarnya ialah dia keluar dari hospital dan dia mengeluarkan Singapura dari Malaysia, maka terasa masuknya ke hospital itu adalah mencari ketenangan bagi menyingkirkan Singapura.

Tindakan Tunku itu tidak popular. Tetapi itulah langkah terbaik bagi mengelakkan haba dan ketegangan jika Lee dikenakan ISA. Menahannya bagi Tunku bukan tindakan yang bijak. Sama saja kesannya bagi Lee berada di luar tahanan dan di dalam tahanan. la sama-sama menimbulkan ketegangan. Tetapi mengeluarkan Singapura dari Malaysia pada jangka pendeknya menyelesaikan suasana tegang itu, manakala jangka panjang akan menjadi perkara yang ditentukan oleh orang akan datang.

Ada laporan British tentang usaha Lee Kuan Yew bekerjasama dengan Lim Chong Eu. Jika dapat dilaksanakan boleh menyebabkan politik masa depan Perikatan gelap.

Ahli Parlimen UMNO terperangkap dengan usul itu. Tidak seorang pun yang bangun untuk menyoalnya. Penyokong kerajaan yang biasanya lantang ialah Tan Sri Syed Jaafar Albar. Dia adalah Setiausaha Agung UMNO ketika itu. Dia tidak setuju dengan langkah memerdekakan Singapura itu. Kiranya dia bangun menyoal kebijaksanaan tindakan Tunku itu, dipercayai keputusan boleh terbalik.

Dia tidak masuk Dewan ketika usul itu dikemukakan. Dia berada di lobi Parlimen mendengar mengapa Singapura patut diberi kemerdekaan. Kata Albar pada saya, dia tidak tahan mendengar hujah Tunku dan orang-orang yang menyokongnya. Hingga dia bangun memasuki Dewan untuk berkata sesuatu. Ada lebih baik dla menyatakan pandangannya mengapa tindakan itu tidak wajar diteruskan daripada menahan perasaannya di luar Dewan.

Ketika dia melangkah hendak melangkah memasuki Dewan, Tun Dr Ismail meluru mendapatkannya dan menahannya daripada masuk Dewan. Dr. Ismail adalah menteri yang ketiga kanan selepas Tunku dan Tun Razak. Kata Dr. Ismail kepadanya, “‘Albar. Jangan engkau yang menyebabkan Tunku jatuh!”

Ertinya Dr. Ismail dapat mengagak bahawa Albar akan menyatakan tidak setujunya. Apabila Albar berbuat begitu, maka la akan diikuti oleh yang lain.

Donald Stephens, Ketua Menteri Sabah yang diketahui rapat dengan Lee Kuan Yew dan beberapa MP Sarawak yang juga rapat dengannya lebih suka bersama Lee baik dalam Malaysia mahupun di luar Malaysia. Mereka ada pandangan sendiri.

Daripada amaran Dr. Ismail kepada Albar itu, ada tanda-tanda cadangan Tunku itu mungkin ditolak. Jika usul itu ditolak, maka tiada pilihan lain bagi Tunku melainkan berundur.

Esoknya Albar memanggil sidang media mengumumkan peletakan jawatannya daripada Setiausaha Agung UMNO kerana tidak bersetuju dengan langkah presiden partinya menyingkirkan Singapura.

Tindakan Tunku adalah menyentuh Perlembagaan. Perlembagaan sudah memperuntukkan Singapura adalah sebahagian dari Malaysia.

Perlembagaan terpaksa dipinda bagi meniadakan Singapura dalam kedaulatan dan peta Malaysia. Lain-lain negara berperang mempertahankan wilayahnya daripada dipisahkan, hatta seinci saja dari buminya. Tetapi dengan senang Tunku melepas sebuah wilayah yang penting bukan saja di Asia Tenggara bahkan bagi dunia umumnya.

Pindaan Perlembagaan yang melibatkan mengubah peta negara sepatutnya dibincangkan secara meluas daripada rakyat. Sebagaimana pembentukan Malaysia itu dibincangkan semua pihak, maka mengeluarkan Singapura juga sepatutnya begitu juga. Bukan saja tidak dibincangkan dengan rakyat, malah ia tidak dibincangkan oleh UMNO.

Bagi orang Melayu memerdekakan Singapura yang menjadi kerajaan yang ketiga di dunia diperintah oleh Cina selepas Tanah Besar China dan Taiwan, dikira seperti membentuk sebuah Israel yang baru di tengah wilayah Melayu serumpun.

British dan Perancis membentuk Israel di tengah dunia Arab bagi mengganggu ketenangan dan keselamatan bumi Arab, maka Singapura dipercayai menjadi seperti lsrael di tengah dunia Melayu. Apa lagi alam Melayu adalah satu rantau lagi yang padat dengan penganut Islam seperti alam Arab, maka peranan Singapura itu pada kepentingan Barat adalah sama seperti pembentukan negara Israel.

Malah antara yang menyokong Lee Kuan Yew pula beberapa aktivis Yahudi seperti wartawan Alex Josey. Alex Josey telah dipersona non grata dari Malaysia kerana tulisan menyokong Lee Kuan Yew yang dirasakan memusuhi pula orang Melayu dan telah banyak menimbulkan ketegangan kaum di Malaysia. Apabila Singapura dikeluarkan, maka Alex Josey balik semula ke Singapura. Orang-orang keturunan Yahudi ini berkumpul di Singapura dengan peranan yang penting, maka Singapura betul-betul dilihat sebagai satu lagi Israel di dunia.

ltu pandangan orang Melayu. Justeru itu mereka tidak senang dengan tindakan Tunku itu. Sangkaan orang Melayu itu tepat apabila kemudiannya Singapura menjalin hubungan yang amat akrab dengan Israel dan dipercayai Israel menjadi penasihat pentingnya dalam banyak perkara termasuk pertahanan.

Apakah melepaskan Singapura itu adalah idea daripada Tunku sendiri atau ada yang menasihatkannya semasa beliau berada di hospital itu?


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)