Home Berita PAS Kelantan

Gerak kerja tahun baharu pertingkat manfaat kepada rakyat

327
SHARE

KOTA BHARU, 1 Jan: Exco Belia, Sukan dan NGO, YB Wan Roslan Wan Hamat mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu dan berdoa semoga kedatangan tahun 2022 akan lebih meningkatkan lagi gerak kerja semua agensi untuk membangunkan ummah, negeri dan negara.

“Diharapkan pada tahun ini, para belia dan atlet lebih bersemangat dan berjati diri untuk mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing. Begitu juga pihak pengurusan dan warga NGO, selaku perantara Kerajaan Negeri, semoga segala gerak kerja lebih tersusun dan lancar supaya banyak manfaat dapat disalurkan kepada rakyat”, katanya.

Bagi Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dr Izani Hussin, 2021 adalah tahun yang sukar. Oleh itu, beliau amat berterima kasih kepada Pengarah Bahagian Kerajaan Tempatan dan kakitangan, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perumahan dan kakitangan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan kakitangan, Yang Di-Pertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan staf, semua petugas barisan hadapan serta kakitangan Pejabat Exco dan Pusat Khidmat DUN Kijang yang banyak membantu dalam memberi khidmat pengurusan dan pentadbiran. Termasuk seluruh rakyat Kelantan atas kebersamaan merealisasikan “Kempen Kelantanku Bersih”.

Beliau berharap tahun 2022 lebih banyak gerak kerja yang akan difokuskan untuk menambahbaik perkhidmatan portfolionya.
Manakala Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan yang juga ADUN Pengkalan Pasir, YB Dato’ Hanifa Ahmad berharap resolusi dan persediaan yang dibuat bagi menghadapi kehidupan pada tahun 2022 berjaya dicapai. Beliau mendoakan kehadiran tahun baharu memberi makna yang besar kepada kita semua serta memberi dorongan untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan yang diimpikan.