Oleh : TT
KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS Kuala Terengganu sedang menggerakkan jentera Pilihan Raya Umum (PRU) dan bergiat cergas melaksanakan program-program bertemu rakyat sebagaimana yang telah dirancang.
Ketuanya, YB Zuraida Md Noor berkata, pergerakan sayap kanan PAS negeri Terengganu itu lebih bersistematik dan berstrategik berdasarkan pelan 100 hari yang telah ditetapkan.
“Kami sekarang ni memang aktif melaksanakan program yang dirancang awal.
“Jadi sekarang ini memang kami banyak program-program menyantuni pengundi sasaran dan program berbentuk dalaman serta luaran,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Wanita Terengganu berkata demikian ketika dihubungi, pada hari ini.
Katanya, beliau cukup yakin jentera muslimat sudah bersedia dan telah buat persiapan menjelang PRU ke-15 ini.
Dalam pada itu, beliau tidak bersetuju sekira PRU ke -15 diadakan dalam musim banjir sebagaimana yang didesak oleh pemimpin Umno.
“Mendoakan agar tidak berlaku PRU dalam musim banjir apatah lagi pilihan raya.
“Sebenarnya kita nak dengar suara rakyat tapi bila berlaku banjir ini.
“Saya cukup risau kalau peratus keluar mengundi menurun. Maksudnya kita tak dengar suara rakyat,” ujar beliau.
Zuraida menambah, pada saat getir sekarang ini, aspek keselamatan rakyat turut diambil kira.
“Sekarang ni memang hari-hari hujan dan negeri lain dilaporkan banjir,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap pihak kerajaan tidak mengadakan PRU dan perlu memberi keutamaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat berhadapan musim tengkujuh.
“Jadi saya harap tidak berlakulah PRU dan pihak atasan mengambil satu tindakan mendengar suara rakyat.
“Kita yang dekat dengan rakyat berdoa agar tidak jadi PRU. Biar habis musim tengkujuh banjir ini (dulu),” tambah Zuraida.