Home Berita PAS Kedah

Generasi PAS terdahulu begitu yakin dengan perjuangan

101
SHARE

ALOR SETAR: Keyakinan kepada perjuangan Islam yang didukungi menjadi faktor generasi PAS terdahulu teguh menghadapi segala ujian, demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya.

Terang beliau, mantan Presiden PAS, Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah menggambarkan kesanggupan perjuangan itu dalam penggulungan perbahasan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-48 pada 2 Jun 2002.

“Wang PAS datang dari iman. Bukan dari korporat yang banyak. Kita bukan ada perniagaan yang besar- besar. Tetapi daripada usaha halal yang dilakukan oleh ahli PAS. (Dari situ) Mereka menyumbang.

“Imam Hasan Al- Banna pernah ditanya. “Bagaimana kumpulan kamu boleh mendapat wang?” Dijawabnya _”Harta, wang ringgit datang dari iman.”_ Bila kita ada keyakinan kepada perjuangan kita, harta menjadi murah dan kecil,” ujarnya mengulang semula ucapan dan petikan diungkapkan Almarhum.

Mengungkap hal tersebut, para pimpinan dan ahli PAS terdahulu jelasnya, telah mewakafkan hidup dan harta mereka untuk perjuangan Islam baik ketika kalah atau menang, malah tidak pernah kenal erti lelah.

Bahkan menurutnya, baik kehadiran mereka dalam masyarakat disedari atau tidak, disambut atau ditolak, tetap juga mengharungi kepayahan perjuangan dan meranduk medan juang yang penuh getir tersebut.

“Ada ketika terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi, namun mereka terus mara tanpa menghiraukan penistaan. Kerana apa? Kerana mereka yakin dengan perjuangan,” jelas beliau memapar potret lama Almarhum Ustaz Fadzil Noor.