Home Berita PAS Kelantan

GEMA, DBPWT gigih melentur rebung puisi

125
SHARE

KOTA BHARU, 13 Dis: Cabaran norma baharu memerlukan penguasaan teknologi digital disahut Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Kelantan bergaya terkini.

Saringan bermula dari 1 hingga 21 November secara atas talian melalui aplikasi Facebook (FB) GEMA yang disertai 65 murid sekolah rendah dan 52 pelajar sekolah menengah. Manakala peringkat akhir diadakan pada 7 Dis 2021 secara langsung melalui Zoom DBPWT.

Majlis penyampaian hadiah pula berlangsung semalam di Dewan Seminar DBPWT menyaksikan kejuaraan peringkat sekolah rendah yang menobatkan Nurul Aimy Insyirah Muhammad mewakili Sekolah Kebangsaan Penambang. Naib Johan disandang Siti Khadeejah Annabrowi Khairul Afnan dari Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3. Tempat ketiga dimenangi murid Sekolah Tanjung Mas, Qaisara Batrisya Faudzly Adi Rizal dan Hadiah Khas Juri pula menjadi milik Nur Irdina Raudhah Norazlan dari Sekolah Kebangsaan Dato’ Ab Hamid 2, Pasir Mas.

Bagi kategori sekolah menengah, Maahad Muhammadi Perempuan mengungguli tempat pertama dan ketiga melalui deklamasi Wan Mayzatul Aisyah Wan Hazman yang muncul johan sementara Sumayyah Humaira Azmi selesa di tempat ketiga selepas Nur Syauqina Mazlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana, Bachok dinobatkan sebagai naib johan.

Penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Khas Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Muhamad Sardi Che Abd Hadi mewakili exco mengucapkan syabas kepada para pemuisi cilik yang menguasai bidang improvisasi puisi dengan baik. Beliau yakin Kelantan tidak akan kepupusan penyair pelapis yang terus komited menyemarakkan aktiviti sastera pada masa depan dengan adanya DBPWT dan GEMA yang gigih melentur rebung puisi.