Home Artikel PAS Johor

GELOMBANG KEBANGKITAN UMMAH SEMAKIN MENYEMARAK DEMI ISLAM

1,800 views
SHARE

MUAR : Dengan turunnya YB Dato Seri TG Haji Hadi Awang ke Muar telah menarik kehadiran lebih dua ribu orang untuk mendengar taujihat beliau yang selama ini ditunggu-tunggu oleh warga Muar khususnya.

Presiden PAS itu telah menyampaikan ceramahnya di Parit Tarom, Muar dalam program Ceramah Perpaduan Ummah anjuran bersama PAS Kawasan Muar sebagai tuan rumah dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor pada 23 Februari yang lalu.

Turut sama menyampaikan ceramah ialah Persuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin dan Dato Seri Razali Ibrahim yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua Bahagian UMNO Muar.

Program yang bermula 9.00 malam itu juga turut dihadiri Adun Bukit Pasir, YB Kapten (B) Najib Lep, Adun Sungai Balang, Puan Hajah Zaiton Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato Dr Haji Mahfodz Mohamed, Ketua DPP Johor, Ustaz Juwahir Amin, pimpinan PAS kawasan-kawasan, pimpinan UMNO bahagian Muar dan beberapa NGO.

Menurut Ustaz Abdullah Husin, gelombang kebangkitan ummah semakin menyemarak bukan sahaja di Johor tetapi juga di seluruh negara. Kepimpinan PAS dan UMNO semakin meningkatkan kerjasama demi untuk sama-sama mempertahankan agama Islam yang semakin diperlekeh, ketuanan Melayu, hak raja-raja dan beberapa lagi yang telah diganggu-gugat oleh pihak kerajaan Pakatan Harapan.

Sudah sampai masanya UMNO dan PAS untuk berperanan mengambil langkah bekerjasama demi untuk mempertahankan agama dan bangsa, demikian menurut kata Dato Seri Razali Ibrahim yang juga merupakan mantan ahli parlimen Muar. Beliau melahirkan rasa syukur kerana mendapat nikmat untuk dapat bekerjasama dengan PAS atas kesedaran untuk menyelamatkan agama dan bangsa dan mengelakkan dari terus berlakunya perpecahan sesama kita.

Tuan Guru Presiden membawa hadirin sama-sama menyelusuri sejarah dari zaman Rasulullah, para sahabat, zaman penjajahan di negara ini dan situasi terkini bagaimana tercetusnya perpecahan dan adanya kerjasama untuk mempertahankan agama. Beliau memberitahu bagaimana di Muar ini pada 1950 telah diadakan satu muzakarah para ulama semalaya membincangkan resolusi tentang Islam dalam perlembagaan sehingga tercetusnya cadangan penubuhan PAS.

Beliau juga berkongsi maklumat bagaimana PAS bertelingkah dalam Pakatan Rakyat dahulu. Tidak lain tidak bukan kerana mereka menentang agenda Islam yang PAS akan laksanakan.

Menurut beliau, kerjasama antara PAS dan UMNO adalah lebih kepada untuk sama-sama mempertahankan Islam yang mula dicabar dan menghadapi tentangan yang semakin hebat oleh musuh-musuh Islam.
Perlunya kita mengelakkan perpecahan demi Islam seperti yang dinyatakan dalam surah al imran : 103 yang bermaksud, “Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah”.