ZARA ADEELA ARIF
KOTA SAMARAHAN, 24 Julai – Dewan Muslimat PAS Malaysia terus menyemarakkan gerak kerjanya menerusi siri jelajah Gelombang AKIFI yang sampai di Zon Selatan Sarawak, kelmarin.
Selain Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Samarahan sebagai tuan rumah, program itu turut menghimpunkan anggota Muslimat daripada PAS Kawasan Petra Jaya, Saadong Jaya dan Santubong.
Program dipimpin sendiri Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh itu diisi dengan solat berjamaah, zikir munajat serta tazkirah yang diadakan di Taman Palm Villa, di sini.
AKIFI merupakan singkatan daripada Alim, Haraki dan Sufi yang diinisiatifkan Muslimat PAS untuk melahirkan anggota aktif di bidang siyasah tanpa mengabaikan tarbiyah dalam diri.
“Walaupun PRU14 telah berakhir, kita tetap perlu teruskan gerak kerja kita sebagai persediaan untuk PRN dan PRU yang akan datang,” ujar Ustazah Nuridah.
Beliau turut mengingatkan agar para Muslimat terus istiqamah bertemu dan beramah mesra dengan pengundi di kawasan masing-masing sebagai salah satu usaha memperkenalkan PAS kepada masyarakat.