Home Berita PAS Kelantan

“FITRAH” raih RM2000

105
SHARE

oleh Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 6 Mei: Video dokumentari berdurasi tiga minit karya Khairuddin Daud berjudul Fitrah berjaya menggondol RM2000 apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Video Pendek bertemakan Kelantan Sejahtera.

Pertandingan anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) tersebut menerima 34 penyertaan dan panel penilai menyenaraipendek sepuluh video terbaik bersempena sambutan Pentadbiran Tiga Dekad Membangun Bersama Islam.

Khairuddin, 44, mengucapkan syukur atas kemenangan tersebut dan berterima kasih kepada penganjur serta juri yang memilih ekspresi seni salah seorang rakyat Kelantan dalam menzahirkan kesyukuran dan istiqamah menyokong dan mendokong dasar Kerajaan Kelantan.

Menariknya, konten video yang bernaratorkan Wardah Husna Yusra, pelajar siswi tahun tiga jurusan Kejuruteraan Material, Universiti Purdue, Indiana, Amerika Syarikat tersebut menyampaikan mesej ringkas yang mampu mengubah persepsi audien tentang negeri Kelantan yang ditohmah mundur dan tiada ruang untuk rakyat bersosial adalah dakwaan meleset.

“Fitrah ialah terjemahan umum tentang Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Islam Kelantan secara bersistem dan berstruktur dengan membawa misi keamanan dan kesejahteraan serta keselamatan sehingga menghasilkan bentuk kehidupan yang holistik dalam segenap aspek” katanya selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengarah UPKN, YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood di Mabna, hari ini.

Majlis berlangsung dalam keadaan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) itu turut merakam naib juara, Amjad Amran membawa pulang RM1000 dan sijil penghargaan melalui video Kelantan Sejahtera yang memaparkan kepesatan pembangunan fizikal tanpa mengecualikan kemajuan spiritual yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan.

Manakala tempat ketiga dimiliki oleh SMK Cherang Ruku (SMKCR), Semerak Pasir Puteh yang turut menerima plak dan sijil kerana mengungguli kategori Video Paling Popular berdasarkan tontonan (view) tertinggi berjumlah 6.4K ketika tarikh serahan.

Video bermesej perpaduan dan keharmonian kaum di Kelantan karya Pengetua SMKCR, Zalina Zakaria tersebut sehingga kini mencapai 7.1K tontonan, 928 pembaca menyukainya, 325 perkongsian dan 102 komen.

Tujuh lagi pemenang hadiah saguhati menerima RM300 berserta sijil penghargaan setiap seorang.

#UPKNkitabersama #pertandinganvideopendekUPKN2021 #berita2petang