Home Berita PAS Kelantan

Fasa Pertama Projek Kampung Warisan siap Oktober ini

377
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

TUMPAT, 4 Ogos: Komponen menarik Projek Kampung Warisan Kampung Laut meliputi Lanai Seni dan Warisan, bakal diiktiraf UNESCO sebagai tapak warisan dunia.

Jurutera projek dari syarikat Blackfox Engineering Sdn Bhd, Mohd Alwi Ab Rahman, 39, berkata pembangunan Kampung Warisan ini melibatkan pembinaan dua kompleks komersil; Laman Warisan dan Lanai Seni yang dibangunkan untuk tarikan pelancong dan Perusahaan Kecil dan Sedehana (PKS) yang menjual makanan tradisional dan kraftangan tempatan.

“Pembinaan fasa pertama melibatkan keluasan 1.8 ekar sudah siap sepenuhnya dan bakal diserahkan kepada 11 pemilik kiosk perusahaan serondeng dan dodol pada Oktober ini.

Manakala fasa dua melibatkan keluasan 1.3 ekar untuk menempatkan semula Masjid Kampung Laut yang berusia 400 tahun di tapak asalnya bersekali dengan pembinaan jambatan ikonik Palekbang-Penambang sepanjang 1.2 kilometer, jeti teksi air, anjung tinjau dan medan selera mengadap sungai serta benteng tebatan banjir sepanjang tujuh kilometer”, katanya ketika ditemui di lokasi.

Tambahnya, hari ini, proses pembinaan semula masjid tersebut berdekatan tapak asal (di dalam sungai) sudah 65 peratus siap. Manakala lanai seni yang menelan kos RM11.8 juta pula hanya tinggal 40 peratus sahaja lagi untuk diselesaikan.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kelantan, Mohd Hushaimi Hussian memaklumkan pemindahan dan pembinaan semula Masjid Kampung Laut memakan belanja RM2 juta merangkumi kos pemuliharaan dan bina semula tersebut dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Masjid bersejarah tersebut dipindahkan dari Kampung Laut ke Nilam Puri sejak lebih 40 tahun lalu sebelum kerja pemindahan semula ke tapak asal dilakukan bermula 16 September tahun lepas adalah ibarat sirih pulang ke gagang.