Home Berita PAS Perlis

Fahami Makna Baiah Demi Memelihara Istiqamah

9849
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Seluruh ahli PAS diingatkan agar memahami makna bai’ah demi memelihara istiqamah mereka bersama-sama dengan parti Islam berkenaan.

Jelas AJK PAS Pusat, Ustaz Mohd. Yusni Mat Piah, bai’ah membawa maksud melakukan perjanjian dengan Allah S.W.T. dalam perkara yang berkait dengan perjuangan Islam, dan mereka yang berbai’ah akan dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah.

Katanya lagi, perkara berkenaan (bai’ah) bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya telah diamalkan sejak zaman Rasulullah S.A.W. lagi bertujuan  mengukuhkan lagi kedudukan seseorang yang berada dalam saf perjuangan atau ditugaskan menjadi pemimpin.

Sehubungan dengan itu ujar beliau, PAS telah mensyaratkan bai’ah yang dimasukkan di dalamnya sumpah dan laknat dengan penegasan lafaz Allah menjadi saksinya agar mereka yang berbai’ah tetap istiqamah serta tidak menukar aqidah perjuangan Islamnya tatkala berhadapan dengan cabaran mahupun tekanan dalam perjuangan mereka.

“Sebab itulah kita yang berada dalam jemaah Islam ini perlu memahami bai’ah serta kenapa kita perlu berbai’ah.

“Rasulullah S.A.W. sendiri mengambil bai’ah daripada para sahabat ketika Islam berada dalam keadaan genting yang menjadikan mereka (para sahabat) tetap istiqamah dengan janji setia itu meskipun berhadapan dengan tekanan dan cabaran sehingga mereka bertemu dengan Allah,” katanya ketika berucap pada program Liqa’ Fikri anjuran Badan Perhubungan PAS Perlis di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini, semalam.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli serta Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga turut menjelaskan bahawa bai’ah yang diberi bukan sekadar sumpah setia untuk taat kepada pimpinan semata-mata tetapi juga kepada Allah S.W.T.

“Allah sebut dalam Al-Quran, bila kita berbai’ah dengan jemaah Islam, dengan pimpinan kita, memberi wala’ kepada pimpinan, maka hakikatnya kita memberi bai’ah kepada Allah S.W.T.

“Atas keyakinan bahawa Allah akan memberikan kemenangan kepada perjuangan Islam, maka sebab itulah kita terus berjuang dan memberi bai’ah kepada jemaah, agar kita dapat terus istiqamah dan meletakkan ketaatan kita kepada Allah dan jemaah Islam ini,” ujarnya.