Home Berita PAS Kelantan

Exco Kebajikan ziarah keluarga mangsa kemalangan

77
SHARE

PASIR PUTEH, 17 Jul: Tragedi yang berlaku di jalan Kamunting, Pasir Puteh dua hari lepas telah membawa Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Mumtaz Md Nawi turun ke lokasi bagi menziarahi serta bertanya khabar keluarga mangsa, semalam.

Beliau meluangkan masa setengah jam bertemu ayah arwah serta menyerahkan sumbangan kewangan bagi menguruskan cucunya selain menampung perbelanjaan anak arwah yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Saya turut bersimpati dengan kehilangan arwah yang meninggalkan tiga anak lelaki dan salah seorangnya turut terlibat dalam kemalangan tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan buat seluruh ahli keluarga mangsa serta diberi kesembuhan buat mangsa lain yang masih dirawat di hospital,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan arwah Yusni Abdul Hamid, 33, terlibat dalam kemalangan yang membabitkan lapan kenderaan dan 21 penunggang basikal akibat daripada lori yang terbabas di lampu isyarat, Jalan Kamunting, Pasir Puteh.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, YB Wan Hassan Wan Ibrahim juga telah menziarahi dan turut membantu keluarga ini ketika berada di unit forensik Hospital Tengku Anis.
Dalam hal berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan berusaha untuk menyalurkan bantuan serta sokongan kaunseling buat anak-anak arwah tersebut.