Oleh : Ibnu Janie
APA itu EQ? Jika IQ (Intelligence Quotient) digunakan sebagai ukuran tahap kecerdasan akal seseorang, EQ (Emotional Quotient) pula digunakan untuk mengukur tahap kecerdasan emosi seseorang. Orang yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi boleh mengawal emosi sendiri selain memahami emosi orang lain.
Konsep EQ ini menjadi popular pada tahun 1995 apabila seorang pakar sains sosial Daniel Goleman menulis sebuah buku yang popular berjudul Emotional Intelligence.
Dalam kehidupan kita pasti kita banyak melalui situasi penyesalan akibat gagal mengawal emosi. Ada orang yang membunuh seseorang kerana terlalu marah akhirnya menyesali perbuatannya ketika sedang menuju ke tali gantung. Lalu dia pun berkata ‘kalaulah aku boleh menahan sedikit kemarahan aku dulu, pasti aku tidak berada di sini’. Ia sangat dekat dengan pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’.
Lalu orang-orang yang berjaya mengawal emosinya sehingga tidak melakukan perkara yang boleh merugikan dirinya sendiri maka orang ini dianggap sebagai mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi.
Soal emosi bukanlah sesuatu yang boleh berlakon atau dibuat-buat. Hanya mereka yang mempunyai tahap EQ yang tinggi sahaja yang boleh berfikir panjang untuk tidak bertindak bodoh di saat-saat yang kritikal.
PAS tidak bertanding PRN Sabah
Baru-baru ini PAS yang merupakan parti sekutu kepada Perikatan Nasional (PN) dan BN tidak diberi peluang bertanding dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah yang baru sahaja selesai.
Sungguh pun diketepikan dalam PRN Sabah namun Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan berlapang dada dan memberi ruang kepada BN dan PN. Yang penting Warisan dan PH perlu dikalahkan.
Tempoh berkempen selama dua minggu telah dibuktikan oleh PAS sepenuhnya bahawa janji pimpinan PAS untuk membantu kempen PN dan BN telah pun dibuktikan sepenuhnya, bukan sekadar janji politik.
Bukan mudah-mudah PAS mengambil sikap berlapang dada tidak bertanding di Sabah. Berlapang dada bukan bermaksud gembira. Berlapang dada adalah satu penerimaan dalam hal yang sebenarnya tidak diingini. Tidak semudah kenyataan pujian dan rasa kagum pemimpin-pemimpin parti rakan atas sikap berlapang dada PAS itu.
Selain PAS terlepas peluang untuk turut sama menghantar wakil ke DUN Sabah, lebih teruk lagi ialah PAS terpaksa menahan segala sindiran dan hinaan dari parti pembangkang terutama PAN. ‘Tukang pacak bendera’, ‘kuda tunggangan UMNO dan Bersatu’, ‘PAS dah kena tipu’, namakan saja, apa yang mereka tak kata pada PAS?
PAS tabah, tidak khianat
Tapi PAS laluinya dengan tabah demi sebuah persahabatan. Dari peringkat pimpinan sehingga ke peringkat bawahan semuanya senada dan akur. Jika parti lain pasti ahli dan pemimpinnya sudah memberontak sana sini. Tanyalah mana-mana parti politik di Malaysia, tidak ada yang mampu melakukan seperti apa yang dilakukan oleh PAS.
PAN yang kononnya berpegang pada ajaran Islam yang sebenar itu pun bila tak dapat bertanding di Sabah pada PRU14 lepas pun ada pimpinan tempatannya yang memberontak dan turut bertanding bersendirian di N58 Dun Merotai ketika itu.
Malah antara BN, PN dan PBS pun terdapat 11 kerusi berlaku pertembungan sesama sendiri akibat rasa tidak puas hati dengan pembahagian kerusi dalam PRN Sabah kali ini. PAS memilih untuk tidak menambahburukkan keadaan.
Begitulah cara bekerja orang-orang PAS. Apa yang diputuskan oleh pimpinan, kami akan akur. Kami ada seorang sahaja presiden untuk kami patuhi. Sebab itu parti kami tidak bercelaru.
Parti komponen PN dan BN harus melakukan sujud syukur kerana PAS memiliki sebuah organisasi yang mempunyai pimpinan, ahli dan penyokong yang wala’.
Ganjaran besar untuk mereka yang tinggi EQnya
Biasanya mereka yang tinggi EQnya akan mendapat balasan yang lebih besar pada masa akan datang seperti pepatah Inggeris yang berbunyi ‘good things come to those who wait’.
Maknanya, sekiranya ahli-ahli PAS berjaya mengawal kemarahan dan bijak dalam mempraktikan EQ dalam perjuangan, mereka akan mendapat sesuatu yang lebih besar pada masa akan datang.
Tetapi kita jangan pula mengharapkan bahawa segala pengorbanan kita ini akan dibalas dengan peluang bertanding di banyak kerusi pada masa akan datang. Belum tentu kebaikan kita akan dibalas dengan kebaikan juga oleh parti rakan dalam PN atau MN.
Namun satu hakikat yang harus diterima oleh PN dan BN ialah PAS tidak akan selamanya beralah sahaja sepanjang masa. Ini juga bukan bermakna jika PAS tidak diberi kerusi di Melaka semasa PRU15 nanti contohnya, masa itu PAS juga akan berlapang dada. Sabah ini bukan ‘precedent case’.
Ia bergantung sepenuhnya kepada arahan pimpinan tertinggi kami. Kalau sekiranya satu hari nanti pimpinan tertinggi kami mengarahkan kami untuk bertanding tiga penjuru, masa itu kami juga akan akur dan wala’ pada arahan pimpinan kami. Asalkan itu arahan dari pimpinan kami, kami akan akur.
Namun begitu sekiranya segala pengorbanan PAS ini satu masa nanti tidak dihargai maka rakyat akan boleh menilai parti mana yang lebih jujur dan ikhlas dalam persahabatan.
Mungkin sesuatu yang lebih besar diterima PAS hasil dari kesabarannya bukan bermaksud akan diberi peluang bertanding lebih banyak kerusi oleh parti rakan. Kemenangannya terletak pada pandangan dan simpati rakyat bahawa PAS sebuah parti yang tinggi semangat setiakawan. Di situlah letaknya kemenangan. Sekiranya kita dikhianati, Allah ada.
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah
Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak pada 2 Oktober 2020.