Home Berita PAS Melaka

Rencana : Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF), di mana kita dan apa peranan kita?

1721
SHARE

Oleh : Hj Rafie Ahmad

PENULIS masih ingat kira-kira 12 tahun yang lalu bila mana ketika itu kerap kita dengar tentang kisah ayam proses yang diragui sembelihannya dan banyak dijual di pasaraya-pasaraya serta kedai-kedai runcit. Ketika itu ramai yang mengeluh dan bertanya di mana boleh kita dapatkan ayam yang bersih dan diproses mengikut kaedah Islam yang sebenar?

Satu petang ketika penulis sedang memandu dan membuka siaran radio IKIM, terdengar satu iklan tentang produk ayam sejuk beku Muslim yang dinamakan ayam “Az Zain”. Ia diusahakan oleh seorang profesional Muslim yang bernama Dr Zainol. Penulis lantas mencatatkan nombor telefon beliau dan terus menghubunginya serta menyatakan hasrat untuk melawat kilang memproses ayam beliau yang terletak di Semenyih, Selangor.

Beliau menyambut kedatangan penulis dengan mesra dan membawa penulis melawat kilang memproses ayam beliau serta menunjukkan kaedah pemprosesan dari awal hingga akhir. Alhamdulillah penulis sangat tertarik dan teruja kerana di situ buat pertama kalinya dapat melihat kaedah pemprosesan ayam yang dibuat mengikut syarak. Bukan saja cara prosesnya, namun juga kaedah pemakanan ayam yang diternak dari benih ayam sehingga besar dan boleh disembelih.

Penulis lantas memohon untuk menjadi pengedar di Melaka dan meletakkan dua buah peti sejuk beku yang boleh memuatkan 100 ekor ayam sejuk beku di hadapan kedai dobi penulis ketika itu, dengan niat untuk melaksanakan tuntutan fardu kifayah.

Maklum balas yang diperolehi daripada pelanggan ketika itu ialah mereka sangat berpuas hati dengan produk ini dan ada antara mereka yang mengatakan ayam ini bersih dan tidak perlu kepada cucian yang banyak dan tidak gatal bila dimakan seperti kebanyakan ayam yang mereka beli dari pasaraya atau kedai runcit sebelum ini.

Akhirnya di atas kesedaran dan minat yang mendalam untuk mengangkat produk muslim ke satu tahap yang lebih baik, sekitar tahun 2014, penulis dan beberapa orang rakan bercadang untuk membuka kedai ‘halal mart’ yang lengkap dengan pelbagai produk usahawan Muslim.

Antara usaha pertama yang dilakukan adalah mengenal pasti keseluruhan produk-produk Muslim ketika itu dan memastikan produk-produk ini semua mampu bertahan dan bersaing dengan produk-produk lain yang telah lama bertapak di pasaran terutamanya jenama-jenama besar seperti Nestle dan sebagainya.

Menubuhkan kedai ‘halal mart’ ketika itu bukanlah suatu tugas yang mudah. Di samping memastikan kepelbagaian produk yang perlu dijual, kita juga perlu memastikan pelanggan tidak mengeluh kerana terpaksa pergi ke kedai yang lain kerana ada barang-barang yang mereka cari tidak diperolehi di kedai kita. Ini adalah antara cabaran besar yang kami hadapi kerana sumber produk muslim ketika itu adalah terhad.

Kita terangkan pada pelanggan bahawa konsep kedai kami adalah menjual produk-produk Muslim sahaja khususnya yang berasaskan makanan. Produk yang kita jual ini adalah alternatif kepada produk lain yang sedia ada dijual di pasaran.

Kesedaran rendah umat Islam terhadap produk Muslim

Satu perkara yang kita perlu akui ialah kesedaran umat Islam di negeri seperti Melaka ketika itu tentang keperluan membeli dan menggunakan produk keluaran Muslim masih berada di tahap yang sederhana. Di samping itu kita harus akui bahawa kebanyakan produk Muslim ketika itu berada pada harga yang agak tinggi.

Contohnya, seekor ayam sejuk beku dengan berat sekitar 1.3 kilogram ke 1.5 kilogram berharga sekitar RM18 ke RM20 berbanding dengan ayam proses biasa di kedai-kedai yang hanya sekitar RM15 untuk ayam seberat dua kilogram.
Dengan kata lain, kuasa membeli ketika itu masih agak rendah berbanding dengan mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti di Bangi atau Shah Alam contohnya.

Penulis mengambil perbandingan ini berdasarkan dari maklumat rakan-rakan yang membuka ‘halal mart’ di Bangi dan Shah Alam ketika itu. Mereka di sana mampu mendapat jualan harian sekitar RM3,000 ke RM5,000 sehari sedangkan kita di sini hanya sekadar dalam RM300 ke RM500 sehari.

Kesukaran mendapatkan bekalan

Selain kuasa membeli dan kesedaran tentang penggunaan produk Muslim, satu perkara yang kita perlu akui ialah kesukaran untuk mendapatkan bekalan atau keperluan secara berterusan. Produk Muslim ketika itu banyak bergantung kepada pengusaha persendirian untuk menghasilkan makanan sejuk beku seperti kuih-muih di samping usahawan IKS yang mengeluarkan produk seperti bebola ikan, perencah makanan , mee kuning dan beberapa produk lain.

Di samping itu ada keadaan di mana pengeluar produk berkenaan berada pada jarak yang jauh dan tiada perkhidmatan penghantaran barangan menyebabkan peniaga terpaksa mengambil sendiri barang-barang. Contohnya pengeluar berada di Johor atau Selangor yang menyebabkan bekalan sering terputus selain dari kos tambahan untuk pengangkutan yang tinggi.

Pembekal-pembekal besar seperti Fama dan Saji ketika itu jarang dapat turun dan menghantar barang-barang ke kedai-kedai di kawasan luar bandar, ada masanya tiga bulan sekali saja mereka dapat turun untuk mengedar barang-barang yang akhirnya menyebabkan kami sering keputusan bekalan dan pelanggan juga banyak yang merungut dan tidak datang ke kedai kami lagi.

Secara kesimpulannya, dengan kesedaran yang tinggi dewasa ini dan dengan ledakan semangat BMF seharusnya sekarang ini semua kedai-kedai barangan Muslim menjadi pilihan utama masyarakat umat Islam di negara kita ini.

Bagi memastikan usaha yang berterusan, pengeluar-pengeluar produk IKS perlu lebih cakna dalam menghasilkan pelbagai produk Muslim yang boleh memenuhi tuntutan keperluan masyarakat Islam. Sudah tentu bila pelbagai produk dapat dihasilkan dan permintaan juga tinggi, maka harga produk-produk ini akan dapat dijual dengan harga yang lebih menarik dan mampu bersaing dengan harga produk-produk keluaran non-Muslim.

Perlu diingat bahawa kempen ‘BMF’ ini bukan bersifat rasis kerana ia adalah kempen sihat untuk memartabatkan ekonomi umat Islam yang seterusnya akan sama-sama dapat memajukan ekonomi negara. Kerajaan juga diharapkan melalui Kementerian Pertanian dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan dapat sama-sama membantu untuk mempertingkat dan merancakkan lagi industri halal ini.

Akhir kata tanggungjawab untuk menjayakan kempen ini adalah terletak di bahu kita semua. Moga usaha murni ini akan berterusan dan dapat memberikan manfaat kepada semua umat Islam khususnya dan negara kita amnya.

Penulis adalah Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka, seorang pengarah syarikat dan berkelulusan sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak pada 5 Oktober 2020.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)