Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS – Tarbiyah: Nadi Pembangun Kekuatan Organisasi PAS

1017
SHARE


ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS
TARBIYAH: NADI PEMBANGUN KEKUATAN ORGANISASI PAS

SETIAP orang ahli PAS yang menyertai parti ini sedar bahawa PAS bukanlah sebuah parti politik semata-mata, sebaliknya ia adalah harakah Islam yang bergerak dalam tiga dimensi iaitu siasah (politik), dakwah dan tarbiyah. Tarbiyah menjadi nadi terpenting kekuatan organisasi PAS sekali gus membezakan ia dengan parti-parti politik yang lain kerana ia bersifat perkaderan dan pembentukan syakhsiah ahli-ahli sehingga mereka benar-benar sedar dan faham tentang perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Dalam sejarah PAS, proses pentarbiyahan ini telah bermula sejak awal penubuhannya lagi dan terus berkembang sehingga wujudnya tarbiyah haraki pada hari ini dalam konteks indoktrinasi dalaman PAS supaya fikrah perjuangan ahli-ahlinya selaras dengan kehendak al-Quran dan Sunnah.

Tarbiyah secara etimologinya adalah terbit dari kata rabaa-yarbuu yang memberi erti berkembang; rabiya-yarbaa yang bermaksud tumbuh; dan rabba-yarubbu dengan makna yang lebih luas iaitu memperbaiki, mengurus, memimpin, menjaga, mendidik dan memelihara. Dari makna perkataan ini, telah jelas fungsi tarbiyah dalam gerakan Islam itu adalah untuk memperbaiki (melakukan islah) terhadap syakhsiah, selain mengurus, memimpin, menjaga dan mendidik supaya setiap syakhsiah itu tumbuh subur sebagai pejuang-pejuang Islam sehingga organisasi (jemaah) dan pengaruh Islam dapat berkembang luas di dalam diri individu, rumah tangga, masyarakat dan negara.

Dari segi ilmu bahasa, tarbiyah (atau pendidikan) berasal dari kata robbaba-robba-yurobbii yang bereti memperbaiki sesuatu dan meluruskannya. Secara istilah pula, tarbiyah boleh diertikan sebagai menyampaikan sesuatu dengan method tertentu mengikut kesesuaian bagi mencapai kesempurnaan; menentukan tujuan yang sesuai dengan kemampuan untuk mencapai kesempurnaan; suatu proses bertahap yang dilakukan oleh pendidik (murabbi); sesuatu yang dilakukan secara berkesinambungan atau berterusan selaras dengan penghidupan; dan dijadikan tujuan terpenting dalam kehidupan iaitu mencapai kemaslahatan umat dalam mendapatkan redha Allah SWT. Hal ini selaras dengan penegasan Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 79 yang bermaksud, “Tidak patut bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu ia berkata kepada manusia, ‘hendaklah kamu menjadi penyembahku, bukan penyembah Allah’. Akan tetapi (dia berkata), ‘hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”

Dalam konteks gerakan Islam, tarbiyah memberi makna suatu proses bimbingan dan pengembangan meliputi jasad, akal, emosi dan jiwa secara berterusan supaya anak-anak tarbiyah dapat tumbuh baik di tengah masyarakat; kegiatan yang disertai dengan kasih sayang, kelembutan hati, perhatian, bijak dan menyenangkan; menyempurnakan fitrah kemanusiaan, memberi kesenangan dan kemuliaan tanpa batas selaras dengan syariat Islam; proses yang dilakukan dengan susun atur yang bijak dan dilaksana secara bertahap dari yang mudah hingga yang sukar; mendidik melalui penyampaian ilmu dengan method yang sesuai sehingga menjadi amalan harian; serta kegiatan yang mencakupi pengembangan, pemeliharaan, penjagaan, pengurusan, penyampaian ilmu, pemberian petunjuk, bimbingan dan penyempurnaan. Seluruh proses ini adalah untuk membina abnaul harakah (anak-anak gerakan) supaya mereka melalui proses tarbiyah khalqiyat (pembinaan jiwa dengan pelbagai petunjuk) dan tarbiyah diiniyat tahzibiyat (pembinaan jiwa berpandukan wahyu untuk kesempurnaan).

Bagi PAS sendiri, sejak awal penubuhannya, program tarbiyah telah berjalan lancar untuk membentuk syakhsiah ahli-ahlinya. Sejak 1954, PAS telah menggerakkan program tarbiyah dengan pengaruh Ikhwanul Muslimin dalam mengkaderkan pimpinan mudanya, sehingga program-program tarbiyah yang tidak berkala seperti Kursus Perjuangan Kita diperkenalkan pada era 1960-an, diikuti oleh Kursus Politik pada 1966. Pada akhirnya 1960-an, PAS mengadakan Gerakan Insaf, Gerakan Syuhadak dan Gerakan Section Pembinaan Mental (SPEM) sebagai program tarbiyah dari 1968 hingga penglibatan PAS dalam BN pada 1974. Selepas 1975, dengan peranan ulamak-ulamak muda, PAS mula menggerakkan tarbiyah secara berkala dengan program yang tersusun mengikut sukatan (silibus) yang ditetapkan bagi setiap tahap ahli dan kepemimpinan. Sistem tarbiyah yang dikenali sebagai tarbiyah haraki ini masih berjalan sehingga hari ini berpandukan al-Quran dan Sunnah, selain karya-karya pemimpin gerakan Islam dari seluruh dunia.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 Februari 2017

{jathumbnail off}