Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS – Fatwa Mufti Pulau Pinang Gegar Pilihan Raya 1955

624
SHARE

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS
FATWA MUFTI PULAU PINANG GEGAR PILIHAN RAYA 1955

PILIHAN Raya Umum Persekutuan yang berlangsung pada 27 Julai 1955 telah digegarkan dengan satu fatwa yang dikeluarkan oleh sekumpulan ulamak di Pulau Pinang dan Seberang Perai berkait kewajipan mengundi dan larangan mengundi calon-calon bukan Islam. Fatwa ini dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Abdullah Fahim bersama pengasas Madrasah al-Masriyah yang juga Ahli Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang, Sheikh Salleh Masri dan Guru Besar Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Ustaz Abdul Halim al-Hadi.

Ketiga-tiga ulamak ini mempunyai kaitan dengan PAS kerana Sheikh Abdullah Fahim adalah bekas Ketua Dewan Ulamak PAS, Ustaz Abdul Halim al-Hadi adalah bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan Sheikh Salleh Masri adalah mertua kepada bekas Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan. Namun begitu, ketiga-tiga mereka tidak lagi bersama PAS selepas 1954 apabila disiplin parti dikuatkuasakan, di mana Sheikh Abdullah Fahim dan Ustaz Abdul Halim al-Hadi kekal bersama Umno, sedangkan Sheikh Salleh Masri bersama Parti Negara.

Dalam Pilihan Raya Umum ini, PAS telah meletakkan 11 calon, sedangkan Perikatan meletakkan 52 calon termasuk calon dari MCA dan MIC yang menentang calon yang beragama Islam. Di kalangan calon PAS, Ustaz Zabidi Ali yang bertanding di Seberang Perai Selatan menentang calon Perikatan/MCA, Tay Hoi Soon, di mana separuh daripada pengundinya adalah beragama Islam. Keadaan ini menyebabkan timbul kekeliruan di kalangan orang Islam, apakah boleh mereka mengundi calon bukan Islam yang menentang calon yang beragama Islam. Bagi menjawab persoalan inilah, maka dikeluarkan fatwa pilihan raya oleh para ulamak Pulau Pinang. Fatwa ini pada asalnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan PAS, bahkan menurut Sheikh Abdullah Fahim ia adalah bertujuan menyokong Umno, tetapi ia memberi keuntungan politik kepada PAS sehingga menimbulkan kemarahan Umno.

Fatwa yang dibuat pada 23 Julai 1955 ini berbunyi, “Tiap-tiap pengundi yang beragama Islam laki dan perempuan yang mempunyai hak undi menurut Undang-undang Pilihan Raya Persekutuan yang telah disahkan, wajib menjalankan hak undinya dengan turun ke tempat mengundi dan membuang undinya pada hari dan waktu yang telah ditetapkan; wajib hanya memilih calon yang terdiri dari orang Islam sahaja; sesiapa juga di antara orang Islam yang memberi hak undi kepada orang bukan Islam adalah dianggap bahawa orang itu telah melakukan satu perkara yang berlawanan dengan kehendak ayat-ayat Allah.” Fatwa ini menyebut enam ayat al-Quran yang menunjukkan umat Islam dilarang mengambil orang kafir sebagai pemimpin atau pemerintah.

Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang telah menyokong fatwa ini kerana menganggap ia dikeluarkan oleh ulamak yang tidak berpihak kepada mana-mana parti, sebaliknya hanya untuk kepentingan agama semata-mata. Keadaan ini menyebabkan Umno berkeras menolak fatwa ini dan menuduh ia dibuat oleh PAS untuk mengelirukan rakyat. Akhirnya, Sheikh Abdullah Fahim dengan dipengaruhi oleh anaknya, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah membuat kenyataan bahawa memilih orang bukan Islam yang bekerjasama dengan Umno adalah tidak haram. Kemudian, Sheikh Salleh Masri dan Ustaz Abdul Halim al-Hadi pula menolak kenyataan Sheikh Abdullah Fahim tersebut kerana menganggap fatwa yang asal cukup jelas dengan dalil-dalil dan tidak berhajat pada sebarang takwil lagi.

Menurut pemimpin Parti Negara yang juga bekas Pegawai Penerangan PAS, Sheikh Ali Balderam, penafian yang dibuat oleh Sheikh Abdullah Fahim itu dibuat oleh anaknya, dengan tujuan memindahkan tanggungjawab fatwa ini kepada PAS. Berlanjutan dari itu, pada 27 Julai 1955, iaitu hari pembuangan undi, Warta Negara telah menyiarkan satu fatwa Muktamar Ulamak dan Mubaligh Islam Indonesia yang mewajibkan orang Islam turun mengundi dan memastikan kemenangan Islam dalam pilihan raya tersebut dengan mengundi calon-calon yang mahu menegakkan hukum Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 Januari 2017

{jathumbnail off}