Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

DPPM | “Kerajaan PAS kekal bebas rasuah, CPI Malaysia meningkat”

378 views
SHARE


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
25 Februari 2018 | 9 Jamadil Akhir 1439

1. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah CPI dilaporkan Transparency International membuktikan Kerajaan BN dan PH tidak bersungguh dalam menangani rasuah. Walaupun kajian persepsi ini tidak melibatkan tangkapan atau kes Mahkamah, ia menunjukkan keyakinan rakyat terhadap belenggu ini sukar dihapuskan.

2. Tambahan pula, ia mungkin dipengaruhi skandal-skandal yang sangat mendekati rasuah sepertimana berlaku kepada Jabatan Bekalan Air Sabah, 1MDB, Felda Global Venture, MARA, terowong dasar laut Pulau Pinang dan banyak lagi. Semuanya terkait dengan pihak pemerintah BN termasuk dari blok PH.

3. Peningkatan persepsi ini tentu juga atas kesedaran semasa rakyat, selain telah lali melihat ‘lakonan’ orang politik yang tidak telus dan cekap mengurus dana dari ribuan hingga bilion ringgit. Selain itu tidak membawa kepada penyelesaian sewajarnya ke pengadilan mahkamah, menjadikan tangkapan dan siasatan bagai sandiwara.

4. Sebaliknya, sesuatu pendekatan dan pengajaran yang wajar segera diambil adalah kejayaan dari pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan. Bukan sahaja terbukti bebas rasuah, malah menunjukkan prestasi kewangan sangat cemerlang. Semua ini lantaran ketelusan yang bermula dari dasar parti menerajuinya iaitu PAS.

5. Kejayaan itu tidak hanya kerana ketelusan dan amanah pentadbiran, tetapi turut disumbang oleh kecekapan pengurusan yang bermula dari sekecil perkara yakni berjimat cermat. Lebih penting, ia adalah kekuatan aspek rohani di mana mendidik perihal ketakwaan; sesuatu yang tiada dalam ajaran selain Islam.

6. Islam yang menjadi dasar kepada parti PAS inilah hingga perkara itu dibuktikan dengan pengiktirafan markah 99.0 peratus bagi Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk Pejabat Menteri Besar dan SUK Kelantan.

7. Pencapaian ini berlaku dalam keadaan Kelantan dinafikan bayaran royalti petroleum, sehingga mampu mentadbir sedemikian kekurangan sejak tahun 1990 angkara sekatan Kerajaan Persekutuan. Prestasi sama ditunjukkan semasa PAS mentadbir Kerajaan Negeri Terengganu tahun 1999 dan Kedah tahun 2008 dahulu.

8. Begitu juga usaha pihak tertentu memomok dan memfitnah PAS dengan rasuah. Dakwaan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima rasuah daripada Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebanyak RM90 juta kini berdepan saman di Mahkamah London.

9. Malah terdahulu ia telah ditolak pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tiada kes untuk disiasat. Hal sama terhadap tuduhan Naib Presiden PAN, Husam Musa juga meleset sama sekali. Hingga kini tidak ada seorang pun pimpinan PAS yang terpalit dengan mana-mana skandal rasuah.

10. PAS juga komited memerangi rasuah, selain iltizam kepada negara bebas rasuah melalui penerapan nilai takwa yang akan dilaksanakan sebagaimana jaminan dalam dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) digagaskan. Oleh itu, kebersamaan rakyat penting untuk memandatkan PAS sebagai kerajaan baharu pada PRU14 nanti.

11. Kami juga dengan ini memuji langkah agresif SPRM mengadakan risikan, siasatan dan pendakwaan dalam usaha membendung dan menangani rasuah. Kami menyokong penuh segala inisiatif dan kesungguhan peranan SPRM membasmi dan mengurangkan indeks persepsi ini, serta menghadapi sesiapa sahaja tanpa gentar.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia