Home Berita PAS Johor

Diploma Tanda Pengiktirafan kepada Guru PASTI

964
SHARE

Diploma Tanda Pengiktirafan kepada Guru PASTI

Oleh : Tinta Tebrau

Tebrau, 29 Julai – 5 orang guru dari PASTI Al-Irfan Tebrau bertuah menerima jemputan ke Majlis Istiadat Konvokesyen Perguruan PASTI kali ke-11 di Shah Alam baru-baru ini. Majlis gilang-gemilang penuh sejarah itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan yang telah diadakan di Hotel De Palma selama 3 hari bermula 26 Julai.

Kelima-lima orang guru tersebut menerima Diploma dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) setelah memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Institut Pendidikan PASTI Malaysia (IPPM) yang berperanan menguruskan program latihan guru-guru PASTI di seluruh negara. Ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha gigih para guru PASTI dalam melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran terbaik supaya dapat mendidik pelajar-pelajar PASTI dengan cemerlang, selari dengan keperluan pendidikan semasa yang semakin mencabar.

“Azam saya setelah mendapat DPAK dari IPPM ini adalah untuk meningkatkan mutu dan kualiti kerja sebagai pendidik dalam membimbing dan mendidik anak-anak PASTI sehingga berjaya menjadi anak yang soleh pintar”, balas Nor Hayati Mahmood, guru PASTI Al-Irfan (7), Taman Puteri Wangsa ketika ditanya. Beliau yang juga merupakan Naib Pengerusi Majlis Guru PASTI Kawasan Tebrau (MGPK) berhasrat membimbing rakan-rakan sekerja untuk mengikut jejak langkahnya menerima sijil diploma itu. 

“Harapan saya insya-Allah, akan mendidik anak-anak PASTI menjadi anak yang soleh pintar dan berakhlak mulia”, ulas Mahani Ismail, guru PASTI Al-Irfan (1), Taman Pasir Putih ketika ditemu bual. Beliau juga merupakan AJK Majlis Guru PASTI Kawasan Tebrau (MGPK) kelihatan amat gembira ketika menerima sijil diploma tersebut.

Dalam perasaan gembira dan terharu, mereka menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas kurniaan tersebut. Tidak melepaskan peluang, mereka mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan PASTI Al-Irfan Tebrau atas ruang dan peluang yang diberikan, juga kepada Roha Suratman dan Norhayati Jamaluddin selaku Jurulatih Utama dari PASTI Al-Irfan Tebrau dalam memberi bimbingan dan sokongan kepada mereka.

“Kami di pihak pengurusan membuka ruang seluas-luasnya kepada warga pendidik PASTI Al-Irfan Tebrau yang sudi menyambung pengajian mereka dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) ini. Ini dapat menambah ilmu pengetahuan kepada guru tersebut dalam karier sebagai pendidik pra-tahfiz.”, kata Ustaz Mohd Ihsan Md Halid, Pengerusi PASTI Al-Irfan Tebrau ketika diminta mengulas berkenaan DPAK dari sudut pengurusan.

“Pihak pengurusan berharap para guru yang telah menerima anugerah, dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu tersebut kepada kebaikan dalam pembentukan generasi bertaqwa di peringkat pra-sekolah ini”, tambah beliau mengakhiri perbualan. Pihak pengurusan PASTI Al-Irfan Tebrau mengucapkan tahniah kepada kelima-lima peserta yang berjaya.