Home Berita PAS Kelantan

Diploma Pengajian Turath Kias: Manifestasi Kejayaan Kelantan

1624
SHARE

1. Sedar ataupun tidak, sudah 30 tahun kerajaan Kelantan ditadbir bawah kepimpinan ulamak. Kadangkala kita sebak mengenangkan jasa para pimpinan yang sudah mendahului kita terutamanya Al-Marhum Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, mereka menabur benih membina generasi demi generasi yang akhirnya melahirkan generasi rabbani.

2. Dikesempatan ini, saya ingin kongsikan sedikit catitan santai berkaitan dengan satu program yang ditawarkan oleh Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Program yang dimaksudkan adalah Diploma Pengajian Turath, program yang ditawarkan ini adalah satu-satunya program yang mendapat pengiktirafan daripada pihak MQA (MQA/PA 9378) dalam bidang pengajian turath.

3. Ini merupakan kejayaan besar pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan KIAS dalam memartabatkan ilmu turath. Sedia maklum, Kelantan turut menjadi destinasi utama pengajian turath secara pondok antaranya Pondok Pasir Tumboh, Pondok Moden, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian, Pondok Gelang Mas, Pondok Beta Hilir dan lain-lain. Oleh itu, para pelajar lepasan pondok turut mendapat peluang terbesar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang turath.

4. Penggubalan silibus utama program ini melibatkan para asatizah-asatizah yang berpengalaman dalam ilmu turath. Para masyaikh pondok juga turut serta dalam pembikinannya menjadikan pembelajaran turath sesuai dan kondusif. Malahan, tenaga pengajarnya juga adalah dalam kalangan asatizah berlatarbelakangkan turath serta pondok.

5. Bagi memastikan tradisi pengajian turath tidak terhad kepada para penuntut kolej semata-mata. Pihak KIAS dengan kerjasama Dewan Ulamak Azhari (DUA) telah menganjurkan Daurah Turath secara bulanan di Masjid Kampung Laut KIAS. Suasana masjid sejarah berusia ratusan tahun ini sudah pasti mengimbau kembali zaman kegemilangan turath yang diajar secara talaqqi.

6. Para alim yang terlibat mengisi slot daurah iaitu Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari, Prof. Al-Mahdaly dan Maulana Hussien Abdul Kadir. Alimnya mereka sudah tidak dipersoalkan lagi dan amat rugilah peluang yang terbentang tidak diambil kesempatan sebaik mungkin.

7. Kami bersama dengan pihak DUA juga dalam proses menyiapkan terjemahan Kitab Fath al-Bari Syarah Sahih Bukhari ke bahasa melayu yang sedangkan didaurahkan sekarang. Kitab ini sedang diterjemah secara harfiyah dan matan asal akan turut disertakan sebagai rujukan. Berdoalah agar urusan ini berjalan dengan lancar.

8. Semoga perjuangan memartabatkan ilmu turath dipermudahkan segalanya insya-Allah. Akhirnya manfaat besar akan kembali kepada seluruh masyarakat dengan berkembangnya program Diploma Pengajian Turath yang sedang ditawarkan di KIAS.

Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin.
Koordinator Diploma Pengajian Turath
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)