Home Berita PAS Terengganu

Degil, polis ‘Terjah’ rumah penduduk

156
SHARE

Oleh: Mastura Jamal Din

KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Gara-gara kedegilan segelintir penduduk Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga yang enggan menjalani ujian calitan Covid-19 menyebabkan rumah mereka diterjah pihak berkuasa.

Pihak polis dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mengambil langkah itu bagi memastikan penduduk melakukan ‘swab test’ di balai raya kampung yang diadakan selama dua hari sejak semalam.

Rata-rata penduduk yang enggan keluar memberikan alasan mereka bukan kontak rapat, tidak bergaul dan tidak keluar rumah.

Terdahulu, penduduk Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga disarankan supaya menjalani ujian saringan Covid-19, kerana dikhuatiri mempunyai risiko selepas beberapa penduduk di kampung berkenaan didapati positif.

Ujian calitan dilakukan berikutan terdapat 11 orang daripada beberapa keluarga didapati positif Covid-19 selepas mereka dikatakan menziarahi kematian di Telemong, Hulu Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seberang Baruh, Mohd Junaidi Long yang ditemui berkata, seramai 1,000 penduduk dikenal pasti untuk menjalani ujian berkenaan.

Namun begitu katanya, tidak semua memberi kerjasama dan meletakkan sasaran hanya 700 orang daripada jumlah yang dikenal pasti akan keluar menjalani ujian berkenaan.

“Ini terbukti apabila dalam tempoh dua hari, hanya 690 penduduk yang keluar menjalani ujian berkenaan yang ditutup setakat 2 petang tadi.

“Hari pertama sambutan agak baik iaitu seramai 398 orang, tetapi pada hari ini sambutan dingin iaitu hanya sekitar 50 orang sahaja yang keluar menyebabkan polis terpaksa campur tangan,” jelas beliau.

Justeru itu katanya, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan dengan pergi dari rumah ke rumah penduduk bagi memastikan mereka keluar untuk mengambil ujian calitan Covid 19 walaupun pelbagai alasan diberikan.

“Ternyata tindakan yang diambil pihak berkuasa dilihat berkesan bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 di kampung berkenaan,” ujarnya.