Oleh ERYNA ISMA
JERAI, 15 Dis – Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerai, antara kawasan terawal ‘Road Tour” Munaqasyah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah untuk sesi kali ini.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah, Sarina Ismail berkata, jadual untuk 14 kawasan lagi akan berlangsung pada Januari 2022.
“Melalui munaqasyah ini, kita akan terjemahkan intipati yang terkandung di dalam Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali sempena muktamar tahunan ke 52 lalu untuk dijadikan panduan gerakerja khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 nanti,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, kupasan kali ini juga akan memberi fokus kepada gerakerja Jentera Pilihan Raya serta penerangan untuk berhadapan suasana kempen norma baharu pandemik Covid-19 pada PRU akan datang.
Selain itu, penglibatan muslimat muda juga diberi penekanan untuk mendekati golongan muda berikutan menurun umur ke 18 tahun sebagai pemilih.
“PRU ke 15 kemungkinan besar tidak sama dengan PRU sebelum ini kerana negara masih berada di dalam suasana pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, gerakerja berfokus perlu dirancang dari sekarang untuk mendekati pengundi.
“Muslimat muda khususnya Ameerah, Briged dan Nusaibah juga perlu bekerja lebih keras lagi kerana umur sebagai daftar pemilih sekarang sudah diturunkan ke 18 tahun.Tentunya dengan hal itu, mereka (muslimat muda) perlu merangka strategi bersesuaian untuk mendekati sasaran,” jelas beliau lagi.
Sarina juga berkata, program seperti usrah, tamrin serta lain-lain bentuk tarbiyah dalam juga perlu diperkasakan agar kesatuan fikiran dan amal sesama ahli dan pemimpin kekal konsisten.
Dalam masa yang sama program AKIFI perlu diperbanyakkan sebagai usaha melahirkan lebih ramai muslimat Alim, Sufi dan Haraki.
“Dalam era memperkasakan peranan muslimat, muslimat juga perlu tampil sebagai pemimpin masyarakat serta bergiat aktif bersama badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masjid dan lain-lain komuniti.
“Muslimat juga perlu memainkan peranan membantu kerajaan sama ada sebagai Ahli Majlis ataupun Jawatan Kuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” tambahnya.
Justeru itu, secara tidak langsung penglibatan aktif muslimat di semua aspek memberi ruang yang lebih selesa untuk pemilihan sebagai calon pilihan raya sama ada untuk Dun mahupun Parlimen.