Home Berita PAS Kelantan

Demo Masakan Tradisional bersama Datin Bentara Kanan bakal berlangsung

57
SHARE

KOTA BHARU: 18 Ogos: Bagi mempopularkan negeri Kelantan sebagai sebuah negeri yang kaya dengan warisan makanan, pihak Persatuan Wanita Sejahtera Negeri Kelantan (WANIS) dengan kerjasama Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) mengambil inisiatif menganjurkan program Demo Masakan Tradisional bersama Datin Bentara Kanan sempena Sambutan Ambang Merdeka 2022.

Program yang diadakan sempena Karnival Hari Belia Negara itu juga bertujuan memberi tunjuk ajar dan nilai tambah kepada anak muda Kelantan mengenai teknik dan penghasilan makanan warisan di samping mempromosikan makanan tradisional negeri Kelantan.

Menurut Pengarah U-BeS, Nasruddin Mahmud Muhaidin, program tersebut bakal berlangsung pada 29 Ogos (Isnin) bertempat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, bermula pukul 9.00 pagi.

“Turut bersama dalam program itu nanti ialah influencer terkenal di media sosial, Abe Mat Ngepek atau nama sebenar Nor Hamidi Mohd Nadzir dan Chef Lan atau Mazlan Hassim, seorang pakar dalam bidang kulinari di bawah Akademi Al-Aufi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan lagi majlis dan membawa pulang hadiah cabutan bertuah daripada pihak penganjur.