Home Berita PAS Johor

Delegasi PASTI Negeri Kedah tiba di PASTI Al-Irfan Tebrau

378
SHARE

Oleh: ZAID HUMAIRA

TEBRAU, 12 Dis – Bersempena program Majlis Guru PASTI Malaysia (MGPM), 3 Dekad PASTI yang berlangsung di Savanna Hill Resort semalam, delegasi Majlis Guru PASTI (MGP) PASTI Negeri Kedah mengambil peluang membuat kunjungan mahabbah ke PASTI Al-Irfan Tebrau.

Kunjungan yang bertujuan menimba dan mengambil beberapa perkongsian berkaitan cara urus tadbir yang dilakukan oleh PASTI Al-Irfan Tebrau, khususnya pengurusan berpusat.

Pengarah Jabatan PASTI Negeri Kedah, Ilyas Ahmad dalam ucapannya menyebut, mereka merancang ke arah pengurusan dan pentadbiran berpusat dalam masa yang sama mensasarkan 6P terutama aspek kebajikan guru.

Beliau berharap perkongsian dari pengalaman PASTI Al-Irfan Tebrau akan memberi sumber inspirasi supaya perancangan mereka dapat direalisasikan satu masa nanti.

“Setakat ini, inilah jumlah kunjungan paling ramai kami terima berbanding dari beberapa delegasi sebelumnya”, ujar Pengerusi PASTI Al-Irfan Tebrau, Kamal Ariff Mohd Bakri dalam ucapan aluannya.

Di dalam penyampaian, beliau menerangkan pengurusan berpusat yang dilakukan oleh kawasan Tebrau meliputi aspek kewangan, selenggara premis dan prasarana, perbekalan serta dokumen rasmi bagi semua 14 buah cawangan PASTI.

Beliau turut menyatakan bahawa kesinambungan pengurusan yang diteruskan ini, adalah hasil dari usaha pengurusan terdahulu, tetapi ditambah baik mengikut situasi semasa.

Delegasi MGP PASTI Kedah yang diketuai Pengerusinya, Juwariah Mohd Yakin kemudiannya dibawa ke PASTI Al-Irfan 1, Taman Pasir Putih sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya.

Seramai 40 orang termasuk beberapa guru dari Perlis dan Pulau Pinang terlibat dalam kunjungan ini.

Turut mengiringi delegasi ini ialah Pengarah Jabatan PASTI Johor, Mohd Fairuz Alias serta Setiausaha Kerjanya, Nasli Izhar Kamaruddin.